SK Hijrah Badong Raikan Perpindahan Warga Pendidik Dalam Suasana Penuh Mesra

Disiarkan pada 07 Jul 2025
Sumber Berita: UKAS


SIBU: Majlis Budi Bertaut Amanah Bersambut dan Makan Malam anjuran Sekolah Kebangsaan Hijrah Badong, Daro berlangsung meriah di RH Hotel pada Sabtu, menghimpunkan lebih 200 tetamu bagi meraikan perpindahan warga pendidik yang telah mencurah bakti kepada sekolah tersebut.

Majlis penuh simbolik itu disempurnakan oleh Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi yang turut menyampaikan penghargaan kepada para guru dan Pembantu Pengurusan Murid (PPM) atas khidmat cemerlang mereka kepada komuniti pendidikan luar bandar.

Dalam ucapannya, Ahmad Johnie menyifatkan perpindahan sebagai satu bentuk hijrah yang membawa makna mendalam.

“Perpindahan itu adalah satu hijrah. Dan salah satu perit dalam hijrah itu adalah perpisahan. Namun, setiap hijrah membawa harapan baharu, peluang lebih luas dan pengalaman yang mematangkan,” ujarnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga pendidik dan PPM yang tidak pernah lelah dalam memartabatkan pendidikan di kawasan luar bandar, khususnya di Daro.

“Peranan guru dan PPM sangat penting dalam mencorakkan masa depan anak-anak kita – bukan sahaja sebagai penyampai ilmu, tetapi sebagai pembentuk sahsiah dan insan yang seimbang,” tambah beliau.

Majlis tersebut turut meraikan Cikgu Borhanudin, seorang guru berpengalaman yang akan berpindah ke sekolah baharu selepas menabur bakti selama bertahun di SK Hijrah Badong.

Turut diraikan ialah sembilan orang PPM yang telah memainkan peranan penting dalam menyokong kelancaran operasi harian sekolah.

Majlis tersebut turut diserikan dengan persembahan warga sekolah, penyampaian cenderamata kenangan serta jamuan makan malam yang memperkukuh semangat kekeluargaan dan penghargaan dalam komuniti pendidikan setempat.-EDISI UKAS