KAPIT: Penduduk Kapit perlu terus “segulai sejalai” dalam politik dan mengekalkan sokongan padu kepada kerajaan bagi memastikan kesinambungan pembangunan di kawasan itu.
Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, bahagian Kapit yang terpinggir daripada arus pembangunan suatu masa dahulu kini sudah mula menggorak langkah dengan banyak projek infrastruktur sedang dan akan dilaksanakan bagi kesejahteraan serta kemakmuran rakyat.
"Projek seperti pembinaan jambatan menyeberangi Batang Rajang tidak dari Nanga Yong dengan kos projek lebih RM300 juta serta pembinaan jalan lebih 2.5 kilometer untuk menghubungkan jalan Song-Kapit dan jalan yang akan dibina oleh Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA).
"Ketika ini kerajaan sedang membina jalan dari Nanga Tulie terus ke jambatan Batang Rajang tidak jauh dari Nanga Yong. Kemudiannya, jalan ini nanti bila siap akan jadi jalan penyambung kepada jalan yang akan dibina ke ulu-ulu sungai seperti Sungai Melipis, Sungai Menuan dan Sungai Ibau," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Edison Bugap, Sungai Melekun di sini pada Ahad.
Tanbahnya, kerajaan ketika ini sedang membina jalan dari Nanga Tulie terus ke jambatan Batang Rajang tidak jauh dari Nanga Yong.
Antara projek lain, termasuk pembinaan Kolej Profesional MARA, pembinaan balai polis baharu dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Goram.
Kerajaan juga sudah meluluskan pembinaan hotel baharu, Dataran Bujang Berani dan beberapa projek pembangunan lain yang akan memberi manfaat secara langsung dan tidak langsung kepada masyarakat di Kapit.
Majlis tersebut turut menyaksikan perasmian pembinaan jeti besi dan jalan simen di kawasan berkenaan yang menjadi simbol komitmen kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Kerajaan MADANI untuk terus membawa pembangunan ke Kapit dengan kehadiran lebih 1,000 penduduk.
Sempena majlis itu, Dato Sri Alexander Nanta bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelagus Wilson Nyabong Ijang mengumumkan projek pembinaan dewan di Rumah Edison Bugap. -EDISI UKAS