Pergiat Usaha Pelihara Warisan Budaya Etnik Sekapan

Disiarkan pada 23 May 2024
Sumber Berita: UKAS





BELAGA: Usaha perlu dipergiatkan bagi memelihara Warisan Budaya Etnik Sekapan agar tidak hilang ditelan arus pemodenan zaman.

Menurut Timbalan Menteri, Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan kaum Sekapan merupakan salah satu etnik minoriti yang unik di Sarawak yang kaya dengan warisan budaya, kesenian dan cara hidup yang mengkagumkan.

Namun ujarnya ramai tidak mengetahui kewujudan kaum etnik Sekapan termasuk masyarakat Sarawak sendiri.
Dalam hal ini katanya, beliau menyambut bai penganjuran Program Kenali Warisan Budaya Sekapan yang dilihat sebagai suatu platform strategik untuk menonjolkan warisan budaya yang unik ini.

“Kaum Etnik Sekapan ini hanya terdapat di Sarawak dan mempunyai dua perkampungan sahaja. Data terkini daripada Jabatan Perangkaan menyatakan bahawa penduduk kaum etnik Sekapan adalah kurang dari 1000 orang.
“Ia sesuatu yang perlu dilihat secara serius bimbang suatu hari kelak ia mengalami kepupusan seperti mana kaum-kaum etnik etnik lain yang sudah pupus.

“Acara seperti ini amat sesuai untuk menunjukan bahawa kaum etnik Sekapan ini wujud dan pembuktian seperti rekod dan buku serta bukti bergambar,” katanya berucap pada Majlis Perasmian Program Kenali Budaya Sekapan di Dewan Atau Lasan Peng Sirek Gun (Anak Murai), Rh. Sekapan Piit pada Rabu.

Menurut Datuk Snowdan, Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) turut berterima kasih kepada Kerajaan Sarawak yang diterajui oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg atas inisiatif untuk menonjolkan budaya kaum-kaum lain di Sarawak.

Dedah beliau, kaum etnik Sekapan telah diletakkan dalam kategori etnik Kajang pada awal 1980an sekaligus termasuk dalam peruntukan Perlembagaan Persekutuan Perkara 161 A (6) bersama dengan kaum etnik Kejaman, Punan, Tanjong dan Kenawit.

Tambahnya, antara warisan budaya Sekapan yang akan diberikan perhatian adalah Klirieng.
Terdahulu, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belaga Datuk Liwan Lagang mengucapkan tahniah kepada Persatuan Bangsa Sekapan Belaga (PBSB), MTCP serta Pejabat Daerah Belaga kerana telah menganjurkan program tersebut dengan jayanya.
Katanya, program tersebut sangat baik dalam mendedahkan anak-anak Sekapan agar mereka tidak lupa budaya dan asal usul mereka.

Di akhir ucapan, Datuk Snowdan telah bersetuju untuk mengagihkan bantuan dana kepada Biro Wanita Rh. Sekapan Piit berjumlah RM15,00 dan kepada Biro Belia berjumlah RM10,000.
Manakala Datuk Liwan turut menyumbang RM15,000 kepada Persatuan Kajang dan RM15,000 kepada Persatuan Bangsa Sekapan Belaga.

Selain itu, Ahli Dewan Negara Senator Michael Mujah Lihan telah mengagihkan bantuan dana kepada PBSB berjumlah RM5,000 dan kepada JKKK Rh Sekapan Piit berjumlah RM5,000.

Program selama dua hari itu padat dengan pelbagai pengisian antaranya acara eksplorasi, pameran dan demonstrasi warisan budaya Sekapan.

Sebelum itu, diadakan Majlis Perasmian Tempat Letak Kenderaan Rh. Sekapan Piit sebagai tanda terima kasih pihak JKKK dan penduduk kampung kepada Datuk Liwan dan Kerajaan Sarawak yang telah membantu membina tempat letak kenderaan ini melalui peruntukan projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) Datuk Liwan.

Walaupun majlis ini diadakan secara ringkas, namun ia sangat bermakna bagi penduduk kampung kerana dengan adanya tempat parkir yang baru ini telah memberi keselesaan kepada penduduk dan tidak timbul lagi masalah tempat parkir yang berlopak ketika hujan sepertimana sebelum ini.

Selepas merasmikan tempat pakir ini dengan menandatangani plak, Datuk Liwan dan tetamu yang lain dibawa berarak ke rumah panjang dan disambut dengan 'kesut' yang dimainkan oleh kaum wanita.
Ia salah satu budaya etnik Sekapan bagi menyambut tetamu yang bertandang ke rumah panjang mereka. – EDISI UKAS