45 Penuntut Tamat Kursus Asas Perajurit Muda Sukarela Siri 1/2025 di Kem Sematan

Posted on 06 Jul 2025
Source of News: ukas


SEMATAN: Seramai 45 penuntut berjaya menamatkan Kursus Asas Perajurit Muda Sukarela (APMS) Siri 1/2025 anjuran Rejimen 511 Askar Wataniah yang berlangsung selama sebulan di Kem Rejimen 511 Askar Wataniah, Sematan pada Ahad.

Majlis penutupan rasmi kursus yang berlangsung dari jam 8.00 hingga 10.30 pagi itu turut diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat, Panglima Briged Ketiga Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Mohd Sauffi Omar dan Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohammad Asfia Awang Nasar bersama isteri, Dato Fatimah Mohd Iskandar.

Komander Rejimen 511 Askar Wataniah dalam ucapannya menyatakan rasa bangga terhadap komitmen dan semangat juang luar biasa yang ditunjukkan oleh para peserta sepanjang latihan yang berlangsung dari 9 Jun hingga 8 Julai 2025.

Beliau turut menekankan empat objektif utama kursus ini, iaitu memberi latihan asas ketenteraan, memperkenalkan disiplin ketenteraan, membina semangat patriotisme dan memupuk semangat setiakawan dalam kalangan anggota simpanan.

“Melalui persembahan demonstrasi sebentar tadi, kita dapat lihat sendiri perubahan besar dalam diri anak-anak ini. Mereka telah membuktikan bahawa dengan kesungguhan dan semangat, apa jua cabaran mampu diatasi,” katanya.

Majlis turut memberi penghargaan kepada para ibu bapa dan keluarga peserta atas sokongan yang diberikan.
Dalam pada itu, Komander turut mengingatkan para penuntut untuk terus mengamalkan ilmu yang diperoleh dan terus aktif menyumbang dalam pelbagai aktiviti ketenteraan akan datang.

Selain itu, tiga peserta turut menerima pengiktirafan dalam kategori Penuntut Keseluruhan Terbaik, Penuntut Akademik Terbaik dan Penuntut Kawad Terbaik sebagai menghargai kecemerlangan mereka sepanjang kursus.

Mengakhiri ucapannya, Komander Rejimen menzahirkan rasa syukur kerana tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku sepanjang kursus, dan mengucapkan penghargaan kepada semua jurulatih serta pegawai yang terlibat dalam kejayaan program latihan ini.-EDISI UKAS