Sarawak Sasar Bina 20,000 Rumah Mampu Milik Di Bawah RMK-13

Disiarkan pada 05 Jul 2025
Sumber Berita: ukas


KUCHING: Kerajaan Sarawak merancang untuk membina 20,000 unit rumah mampu milik di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bermula 2026 hingga 2030 sebagai usaha menangani isu ketidaksepadanan dalam sektor perumahan negeri ini.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian berkata, langkah ini merupakan tindak balas kerajaan negeri terhadap jurang ketara antara jumlah unit rumah sedia ada dan jumlah isi rumah di Sarawak ketika ini.

“Menurut statistik rasmi tahun 2023, Sarawak mempunyai sebanyak 770,000 unit rumah, manakala jumlah Ketua Isi Rumah (KIR) hanyalah 630,000.

“Ini menunjukkan terdapat lebihan kira-kira 140,000 unit rumah, yang berpunca daripada faktor migrasi luar bandar ke bandar dan pembelian rumah untuk tujuan pelaburan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Makan Malam Gala Tahunan Azmi Real Estate 2025 yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di sini, pada Sabtu.

Menurut Datuk Amar Profesor Dr. Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, kerajaan negeri sentiasa berusaha sedaya upaya menyediakan perumahan mampu milik kepada rakyat.

“Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), kita hanya membina 3,000 unit.

“Tetapi di bawah RMK-13, bermula tahun depan hingga 2030, Unit Perancang Ekonomi (EPU) Sarawak mencadangkan sebanyak 20,000 unit. Daripada 3,000 unit naik kepada 20,000,” jelasnya.

Menurutnya lagi, dalam usaha memperkasakan pemilikan rumah dalam kalangan rakyat Sarawak, kerajaan negeri turut memperkenalkan pelbagai inisiatif.

Beliau memberitahu, antara yang disediakan termasuk pemberian bayaran deposit sebanyak RM10,000 kepada pembeli rumah pertama serta kemudahan pinjaman kadar faedah serendah 1 peratus untuk golongan B40, melalui syarikat kewangan milik kerajaan negeri, Mutiara Mortgage and Credit, bagi pembelian rumah yang berharga di bawah RM300,000.-EDISI UKAS