DEBAK: Karnival Kesihatan: Gaya Hidup Sihat, Warisan Sarawak yang diadakan di Rumah Panjang Jembat, Dit Ulu, Debak merupakan bukti nyata pendekatan kerajaan dalam memperluas capaian perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat luar bandar.
Ahli Parlimen Betong, Dato Dr. Richard Rapu, berkata karnival tersebut bukan sekadar program kesihatan biasa, malah mencerminkan transformasi dasar kesihatan luar bandar apabila pelbagai perkhidmatan utama seperti saringan kesihatan, rawatan pergigian, vaksinasi, senamrobik dan ceramah pemakanan dibawa terus ke halaman rumah panjang.
“Pendekatan sebegini adalah simbol komitmen kerajaan untuk memastikan tiada rakyat luar bandar yang terpinggir daripada maklumat dan akses kesihatan.
“Kita mahu rakyat Sarawak, walau di mana mereka berada, menerima perkhidmatan setara dengan di bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan alu-aluan sempena majlis perasmian karnival yang telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, Datuk Mohammad Razi Sitam, di sini pada Jumaat.
Dato Dr. Richard turut menekankan kepentingan intervensi awal dan promosi gaya hidup sihat, berbanding hanya merawat apabila sakit, agar masyarakat luar bandar dapat membina daya tahan kesihatan fizikal, mental dan rohani yang kukuh.
Katanya lagi, pemilihan Rumah Panjang Jembat sebagai lokasi program membawa simbolik yang kuat terhadap usaha kerajaan mendekati rakyat hingga ke peringkat akar umbi.
Karnival ini juga melibatkan kerjasama pelbagai agensi dan institusi termasuk Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Kuching, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, RELA, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pelatih Diploma Lanjutan Penjagaan Kesihatan Primer, yang bertindak sebagai penggerak utama program.
Menariknya, tema karnival “Gaya Hidup Sihat: Warisan Sarawak” turut mengangkat nilai budaya masyarakat Iban seperti semangat kekeluargaan, amalan gotong-royong dan pemakanan tradisional yang sihat — selari dengan objektif mempromosikan kesihatan dalam konteks tempatan.
Karnival ini membuktikan bahawa kesihatan bukan lagi hak eksklusif masyarakat bandar, sebaliknya kini dibawa terus ke pangkuan komuniti luar bandar menerusi kerjasama bersepadu pelbagai pihak, sejajar dengan aspirasi Kerajaan Sarawak dalam membina negeri yang sihat, sejahtera dan inklusif menjelang 2030.-EDISI UKAS