RM11 Juta Diperuntuk Bina Semula Klinik Kesihatan Ibu dan Anak Debak

Disiarkan pada 05 Jul 2025
Sumber Berita: ukas


DEBAK: Kerajaan Sarawak terus komited memperkasa sistem kesihatan luar bandar apabila memperuntukkan sebanyak RM11 juta bagi pembinaan semula Klinik Kesihatan Ibu dan Anak di Debak.

Perkara tersebut diumumkan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, Datuk Mohammad Razi Sitam, semasa merasmikan Karnival Gaya Hidup Sihat Warisan Sarawak 2025 anjuran Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), di Rumah Panjang Jembat, Ulu Dit, pada Jumaat.

Menurut beliau, bangunan klinik sedia ada yang dibina pada tahun 1973 kini berada dalam keadaan uzur dan tidak lagi sesuai untuk kegunaan jangka panjang.

“Bangunan asal hampir 99 peratus diperbuat daripada kayu.

“Sekarang tiba masanya kita sediakan kemudahan kesihatan yang lebih selamat, selesa dan moden, sejajar dengan matlamat pembangunan Sarawak menjelang 2030,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa pembinaan semula fasiliti ini bukan sahaja akan memberi manfaat kepada masyarakat setempat, malah turut meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada penduduk luar bandar.

Datuk Mohammad Razi menyatakan harapan agar peruntukan tersebut akan disalurkan secara efisien melalui Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) dan projek pembinaan dapat dilaksanakan secepat mungkin dengan reka bentuk bangunan yang sesuai dan praktikal.

Dalam majlis tersebut, beliau turut merakamkan penghargaan kepada ILKKM dan seluruh warga kesihatan yang menjayakan penganjuran karnival secara inklusif melibatkan penyertaan jururawat, pembantu perubatan serta pelajar kesihatan dari pelbagai kaum dan latar belakang termasuk dari Semenanjung Malaysia yang bermalam di rumah panjang bersama penduduk.
“Program seperti ini adalah bentuk “pendekatan mesra rakyat” yang bertepatan dengan misi kerajaan negeri melalui pelaksanaan program outreach, yang memfokuskan kepada penglibatan komuniti secara langsung dalam soal kesihatan dan kesejahteraan hidup.

“Sarawak sentiasa mengambil berat soal kesihatan masyarakat. Pembangunan infrastruktur tidak akan bermakna jika rakyat kita sakit dan tidak berdaya. Sebab itu kerajaan negeri sangat serius dalam hal ini,” ujar beliau lagi.

Karnival Gaya Hidup Sihat Warisan Sarawak 2025 turut dimeriahkan dengan pelbagai pengisian seperti pemeriksaan kesihatan percuma, ceramah kesihatan awam, pameran interaktif dan demonstrasi kecemasan, yang memberi manfaat langsung kepada penduduk sekitar Ulu Dit.

Kehadiran masyarakat pelbagai kaum termasuk Iban, Melayu dan Cina menyerlahkan semangat perpaduan dan keterbukaan dalam menjayakan agenda kesihatan bersama.

Turut hadir ialah Ahli Parlimen Betong Dato Dr. Richard Rapu, Pengarah Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Kuching Musaropah Sapihis, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak Semawi Mohamad, Penolong Tadbir Menguasa, Pejabat Daerah Kecil Debak Mohamad Khairurani Mohamad Ibrahim, dan Tuai Rumah Jembat Meramat.-EDISI UKAS