BELAGA: Inovatif, lestari dan sarat dengan semangat cinta akan negeri.
Itulah nilai yang dizahirkan oleh komuniti Uma Daro Liling Padong (UDLP) apabila berjaya menghasilkan replika Bendera Sarawak menggunakan sebanyak 880 botol plastik terpakai, bersempena Sambutan Hari Sarawak 2025 dan penyertaan dalam Anugerah Desa Madani (ADM) 2025.
Inisiatif kreatif ini yang digerakkan sepenuhnya oleh Biro Wanita UDLP bukan sahaja menyerlahkan kreativiti komuniti luar bandar, malah menyampaikan mesej jelas mengenai kepentingan kelestarian alam sekitar dan pengamalan gaya hidup mampan melalui aktiviti kitar semula.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belaga, Datuk Liwan Lagang berkata, usaha tersebut mencerminkan kecintaan mendalam penduduk terhadap negeri Sarawak di samping keprihatinan terhadap pemeliharaan alam sekitar.
“Inovasi mereka dalam menghasilkan replika Bendera Sarawak amat mengagumkan dan mencerminkan rasa cinta serta kesetiaan terhadap negeri.
“Usaha untuk menceriakan dan menjaga kebersihan persekitaran rumah panjang wajar diberi perhatian kerana ia mewujudkan suasana sihat selain menerapkan nilai kebersihan kepada generasi muda.
“Pendidikan bermula di rumah bersama keluarga. Ini juga satu bentuk patriotisme. Tahniah dan syabas kepada ibu-ibu UDLP,” katanya.
Sementara itu, Ketua Biro Wanita UDLP, Alice Laing memaklumkan bahawa proses penghasilan replika tersebut mengambil masa hampir seminggu, bermula dengan pengumpulan, pencucian dan pewarnaan botol mengikut warna rasmi Bendera Sarawak sebelum disusun membentuk struktur berskala besar.
“Kami memilih untuk menggunakan botol plastik terpakai sebagai bahan utama bagi membuktikan bahawa barangan yang sering dianggap sebagai sisa sebenarnya mempunyai potensi besar jika dimanfaatkan secara kreatif.
“Selain menyemarakkan sambutan Hari Sarawak, inisiatif ini turut menjadi medium pendidikan komuniti mengenai kepentingan amalan kitar semula,” jelasnya.
Ujarnya lagi, usaha ini juga memberi nilai tambah kepada pendidikan tidak formal dalam kalangan penduduk, khususnya generasi muda, untuk lebih peka terhadap penjagaan alam sekitar serta menanam semangat cinta akan negeri.
Dalam pada itu, Ketua Kampung atau Maren Uma Huvang Liah menyifatkan inisiatif tersebut sebagai pencetus kesedaran dalam kalangan penduduk kampung untuk lebih prihatin terhadap pemuliharaan alam sekitar.
“Penggunaan botol terpakai bagi menghasilkan bendera ini memberikan mesej jelas kepada komuniti tentang kepentingan kitar semula dalam kehidupan seharian.
“Ia turut mengurangkan pembaziran bahan dan membuktikan bahawa dengan sedikit kreativiti, bahan buangan boleh diberikan nafas baharu.
“Di samping itu, ia melambangkan semangat patriotik dalam menyambut Hari Sarawak pada 22 Julai serta kesiapsiagaan komuniti menghadapi penilaian ADM tidak lama lagi,” katanya. –EDISI UKAS