MIRI: Seramai tiga Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) telah menerima sijil pelantikan masing-masing dalam satu majlis rasmi diadakan di Bilik Mesyuarat Utama, Pejabat Residen Bahagian Miri pada Jumaat.
Majlis penyerahan sijil pelantikan ini anjuran Pejabat Daerah Miri telah disempurnakan oleh Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin.
Tiga pemimpin yang menerima pelantikan adalah dua Ketua Masyarakat iaitu Pemanca Ujut Rahman untuk Daerah Miri dan Penghulu Andara Salleh untuk Kampung Bakam, Berjaya & Luak manakala satu pelantikan Ketua Kaum iaitu kepada Rengga Bangkong untuk Rumah Panting, Sungai Teniku, Miri dengan ketiga-tiga akan berkhidmat bagi tempoh pelantikan bermula 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2026.
Dalam ucapannya, Dato Sri Lee menekankan peranan utama KMKK sebagai penghubung antara kerajaan dengan masyarakat di peringkat akar umbi.
"Kerajaan Sarawak sentiasa memberi perhatian kepada semua kaum.
“Ini adalah cerminan kepada dasar inklusif kita, di mana kita mahu semua rakyat, tanpa mengira agama atau budaya, bekerjasama erat demi kemajuan negeri,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan perpaduan kaum dan pemahaman silang budaya dalam kalangan ketua masyarakat, sambil menggesa mereka memahami adat resam pelbagai kaum agar dapat menjadi penghubung antara komuniti yang berbeza.
Dato Sri Lee turut mengusulkan agar Pejabat Daerah mengadakan sesi orientasi khas bagi membantu ketua-ketua masyarakat yang baru dilantik, terutamanya bagi mereka yang belum pernah memegang jawatan tersebut sebelum ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Datuk Dr Ripin Lamat, Timbalan Menteri Kesihatan Dato Lukanisman Awang Sauni serta Residen Bahagian Miri Galong Luang. -EDISI UKAS