Parlimen Batang Lupar Sumbang 35 Unit Televisyen Untuk Kemudahan PDP SMK Beladin

Disiarkan pada 04 Jul 2025
Sumber Berita: UKAS


PUSA: Pusat Khidmat Parlimen Batang Lupar menyumbangkan sebanyak 35 unit televisyen kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beladin, di sini, bagi tujuan mempertingkatkan proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) di sekolah berkenaan.

Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli berkata, sumbangan tersebut adalah bagi memudahkan pelajar untuk mendapat maklumat terkini dan pembelajaran secara berkesan.

“Saya amat berbesar hati kerana saya dapat membuat penyerahan sumbangan televisyen untuk proses pengajaran di dalam kelas bagi memudahkan pelajar untuk mendapat maklumat terkini dan pembelajaran secara berkesan.

“Saya juga akan berusaha untuk membantu pihak sekolah dengan sedaya upaya saya demi memberi keselesaan kepada pihak sekolah mahupun anak-anak di SMK Beladin, Pusa,” katanya semasa berucap dalam majlis penyerahan sumbangan televisyen tersebut.

Mohamad Shafizan turut mengucapkan tahniah kepada pelajar SMK Beladin yang telah memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu dan berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Beliau menegaskan, ilmu pengetahuan amat penting pada masa kini bagi memastikan masa hadapan anak-anak terjamin.

“Justeru, semua pihak perlu memberi penekanan terhadap pembelajaran terutama ibu bapa yang sentiasa bersama anak di rumah.

“Ibu bapa seharusnya memantau setiap tingkah laku anak supaya mereka tidak terjebak dengan masalah sosial masa kini,” ujar beliau.

Beliau menambah, Kerajaan Sarawak banyak menyediakan kemudahan atau inisiatif kepada pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti dan memberi pendidikan percuma pada tahun hadapan kepada yang belajar di universiti milik Sarawak.

“Pelajar seharusnya mengambil peluang yang sedia ada ini agar memberi semangat dan iktizam kepada pelajar untuk terus berjaya demi mencapai kejayaan,” katanya lagi.

Pada majlis yang sama, Mohamad Shafizan turut menyampaikan insentif kepada pelajar cemerlang SPM tahun lepas serta sumbangan program bengkel dan tuisyen SPM 2025 berjumlah RM9,000.-EDISI UKAS