RM2.4 Juta Diperuntuk Bagi Projek Sistem Perparitan Empat Kampung di Saribas

Disiarkan pada 04 Jul 2025
Sumber Berita: UKAS


DEBAK: Sebanyak RM2.4 juta telah diperuntukkan di bawah Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) bagi melaksanakan projek sistem perparitan melibatkan empat buah kampung di Dewan Undangan Negeri (DUN) Saribas, iaitu Kampung Bungin, Kampung Supa, Kampung Tuie dan Kampung Mangut.

Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, Datuk Mohammad Razi Sitam menzahirkan harapan agar projek ini dapat diselenggara dan dilaksanakan dengan jayanya bagi memberi manfaat kepada penduduk kampung, khususnya dalam menangani isu perparitan dan banjir kilat yang sering melanda.

“Saya amat berharap agar segala perancangan dapat dilaksana dengan teliti dan berkesan,” katanya berucap semasa mesyuarat penyelarasan projek berkenaan di Bilik Mesyuarat Pusat Khidmat DUN Saribas, di sini pada Jumaat.

Datuk Mohammad Razi turut menyeru semua Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) agar sentiasa memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak pelaksana demi memastikan projek ini berjalan lancar tanpa sebarang halangan.

Menurutnya, kerjasama erat antara pihak kerajaan, agensi pelaksana dan masyarakat setempat amat penting dalam memastikan kejayaan setiap projek pembangunan yang dirancang di kawasan luar bandar.

Mesyuarat tersebut turut dihadiri oleh barisan Ketua Kaum dari kampung-kampung terlibat, pegawai-pegawai daripada BDDA serta wakil Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) selaku agensi pelaksana projek.-EDISI UKAS