Waspada Penipuan Guna Nama Jabatan Pertanian Sarawak

Disiarkan pada 04 Jul 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Jabatan Pertanian Sarawak menegaskan bahawa pihaknya tidak pernah meminta sebarang bayaran atau maklumat peribadi melalui pihak ketiga mahupun komunikasi peribadi.

Pengarahnya, Dominic Chunggat berkata, semua urusan rasmi jabatan hanya dijalankan melalui saluran yang sah dan diiktiraf.

Menurutnya, jabatan tersebut telah menerima aduan berkaitan penyalahgunaan nama dan identiti jabatan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk tujuan penipuan.

“Pihak yang tidak bertanggungjawab ini dilaporkan menggunakan nama, logo, rasmi dan dokumen yang menyerupai Jabatan Pertanian Sarawak bagi tujuan memancing mangsa untuk menyerahkan maklumat peribadi, membuat pembayaran, atau terlibat dalam urusan yang mencurigakan,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Sehubungan itu, Dominic menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap panggilan telefon, mesej atau surat yang mencurigakan dan sentiasa membuat pengesahan melalui pejabat Jabatan Pertanian Sarawak berhampiran atau saluran rasmi jabatan sebelum membuat sebarang urusan.

Beliau turut menggesa orang ramai agar melaporkan sebarang percubaan penipuan kepada pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) atau terus kepada pihak jabatan.

“Pihak kami memandang serius perkara ini dan akan bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk menangani isu penipuan dan melindungi kepentingan orang awam,” ujarnya lagi.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan menerusi talian 082-441000, e-mel ke webmaster@doa.sarawak.gov.my atau layari doa.sarawak.gov.my.-EDISI UKAS