MIRI: Seramai 18 wartawan tempatan menyertai Workshop Kewartawanan bertajuk “AI in the Newsroom” anjuran Persatuan Wartawan Utara Sarawak (NSJA) dengan kerjasama Curtin University yang berlangsung di sebuah hotel di sini pada Jumaat.
Majlis penutupan serta penyampaian sijil kepada para peserta telah disempurnakan oleh Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin.
Bengkel sehari itu bertujuan memperkasa wartawan dengan pengetahuan dan kemahiran dalam penggunaan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dalam bidang kewartawanan yang kini berdepan pelbagai cabaran serta perubahan pesat.
Dato Sri Lee dalam ucapannya menyifatkan langkah ini sebagai sangat tepat pada masanya memandangkan landskap media kini berubah dengan pantas.
“Saya amat menggalakkan para wartawan untuk terus belajar dan menambah ilmu baharu.
"AI tidak akan menggantikan wartawan, tetapi ia adalah alat yang boleh membantu meningkatkan kualiti dan standard kewartawanan namun penggunaan AI juga memerlukan etika supaya tidak disalahgunakan,” tegas beliau.
Beliau turut mencadangkan agar pihak Curtin University membangunkan satu modul kursus pendek berkaitan AI dalam kewartawanan yang boleh dibuka kepada semua pengamal media di Sarawak. -EDISI UKAS