Enam Ketua Kaum Terima Watikah Pelantikan Bagi Kawasan DUN Simanggang

Disiarkan pada 04 Jul 2025
Sumber Berita: UKAS


SRI AMAN: Seramai enam Ketua Kaum baharu bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simanggang menerima watikah pelantikan rasmi dalam majlis ringkas diadakan di Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang, di sini, pada Khamis.

Hadir menyempurnakan majlis penyerahan berkenaan ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis.

Enam Ketua Kaum yang dilantik adalah Tr Jackson Michael Jein bagi Kampung Sungai Putong, Tr Fenner Baily bagi Kampung Sengelau, Tr Thomas Ade bagi Kampung Resak, Tr John Jimbun bagi Kampung Entawa Ili, Tr Peter Bunya bagi Kampung Empadi Batu Anchau dan Tr Glinie Michelle Daylie bagi Kampung Liu C.

Datuk Francis Harden yang juga ADUN Simanggang dalam amanat menegaskan bahawa pelantikan ini mencerminkan kepercayaan Kerajaan Sarawak terhadap Ketua Kaum sebagai pemimpin akar umbi.

Beliau menekankan bahawa mereka harus menjadi jambatan yang menghubungkan masyarakat dengan kerajaan.

“Ketua Kaum perlu sentiasa bekerjasama rapat dengan agensi kerajaan dan kepimpinan masyarakat seperti Penghulu, Pemanca dan Temenggong untuk memastikan tadbir urus di rumah panjang dan kampung berjalan lancar,” ujar beliau.

Sementara itu, Pegawai Daerah Sri Aman, Shariff Bujang mengingatkan bahawa Ketua Kaum memainkan peranan penting dalam menyelesaikan pertikaian adat, membantu pendaftaran kelahiran dan kematian, mengetuai Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta menyokong pelaksanaan program pembangunan dan kebajikan kerajaan.

Hadir sama, wakil Residen Bahagian Sri Aman Mohamad Hafiz Kipli, Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Sri Aman Joshua Martin Jantan, Penolong Pegawai Tadbir Sandin Ajah dan Ketua Masyarakat Iban Daerah Sri Aman Pemanca Denneil Saweng. -EDISI UKAS