Penyiapan Dewan Kampung Lunying Lambang Komitmen Kerajaan Perkasa Luar Bandar

Disiarkan pada 04 Jul 2025
Sumber Berita: UKAS


SEBUYAU: Penduduk Kampung Lunying di sini kini menikmati kemudahan serba baharu dengan perasmian rasmi dewan kampung yang telah siap dinaik taraf, sekali gus menjadi mercu tanda pembangunan komuniti setempat.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, projek menaik taraf dewan tersebut menelan kos sebanyak RM400,000 bertujuan menyediakan ruang serbaguna bagi pelbagai kegunaan masyarakat termasuk mesyuarat, program sosial, aktiviti pendidikan dan acara kebudayaan.

Beliau menjelaskan pembangunan infrastruktur seperti ini membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memperkasakan kawasan luar bandar.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Perasmian Dewan Kampung Lunying, di sini, pada Khamis.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau itu menambah usaha ini juga selaras dengan matlamat untuk meningkatkan taraf hidup rakyat dan memperkukuh kesejahteraan komuniti.

“Dewan ini bukan sahaja simbol kemajuan fizikal, tetapi juga ruang penyatuan masyarakat untuk terus maju bersama,” katanya.

Hadir sama, wakil Residen Bahagian Samarahan Anuar Da’an, Pegawai Daerah Sebuyau Ayuradiman Bujang, Tuai Rumah Kampung Lunying Gindi Achang serta tetamu kehormat yang lain. -EDISI UKAS