KUCHING: Sebanyak RM30 diperuntukkan bagi pembinaan Kompleks Sukan Kabong, salah satu projek berimpak tinggi di bawah sektor pembangunan sosial Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA).
Justeru, satu mesyuarat bagi membincangkan perkembangan terkini serta peringkat akhir penentuan tapak pembinaan kompleks itu diadakan di Kuching pada Selasa.
Ia dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir.
Kompleks sukan yang dirancang itu bakal menempatkan pelbagai kemudahan moden, antaranya ialah astaka berkapasiti 300 orang, blok pentadbiran, padang bola sepak lengkap dengan sistem saliran bawah tanah, dewan serbaguna tertutup, trek larian sintetik, gelanggang futsal serta beberapa lagi kemudahan lain.
Mesyuarat ini turut memberi tumpuan kepada penetapan skop pelaksanaan yang lebih terperinci bagi memastikan pembangunan projek berjalan lancar dan memberi impak maksimum kepada penduduk setempat, khususnya golongan belia di DUN Kabong.
Dalam ucapannya, Dato Mohd Chee merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat serta menegaskan kepentingan projek ini sebagai pemangkin kepada gaya hidup sihat dan pembangunan modal insan luar bandar.
Turut hadir dalam mesyuarat ialah Ketua Bahagian Pembangunan dan Penyelenggaraan Fasiliti, Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), Syamsudin Mohamad Ali, Pegawai Tadbir Khas BDDA, Abg Mohamed Abg Turkey, Supt Morris Nayub daripada Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Betong, serta wakil-wakil daripada agensi pelaksana.-EDISI UKAS
Majlis Hi-Tea & Ngiling Tikai Erat Ukhuwah Perkhidmatan Awam Sibu
SIBU: Majlis Hi-Tea Penjawat Awam Bahagian Sibu dan Ngiling Tikai 2025 anjuran Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan (MAKSAK) Bahagian Sibu telah berlangsung meriah di Kompleks Islam Sibu baru-baru ini.
Majlis yang dihadiri seramai 60 penjawat awam dari pelbagai agensi negeri dan persekutuan itu telah disempurnakan oleh Residen Bahagian Sibu, Abang Mohamad Porkan Abang Budiman.
Dalam ucapannya, beliau menekankan bahawa penganjuran majlis seumpama ini bukan sahaja menandakan penutupan rasmi sambutan Gawai, tetapi juga menjadi platform terbaik untuk memperkukuh perpaduan dan jalinan silaturahim dalam kalangan penjawat awam.
“Sebelum ini, kita sama-sama memeriahkan majlis Berlanggar Meja sempena Hari Raya Aidilfitri.
"Program seperti ini menunjukkan bahawa perpaduan bukan sekadar slogan, sebaliknya diterjemahkan menerusi aktiviti inklusif yang merentas kaum dan budaya,” jelas beliau.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kontinjen MAKSAK Bahagian Sibu yang telah menyertai pelbagai kejohanan sukan seperti petanque, futsal, ragbi dan boling.
“Tahniah saya ucapkan kepada pasukan Ragbi MAKSAK Sibu yang berjaya meraih gelaran Naib Juara baru-baru ini.
"Ini satu pencapaian yang membanggakan, membuktikan penjawat awam di Sibu cemerlang bukan hanya dalam tugas, malah dalam bidang sukan,” katanya lagi.
Tambah beliau, penyertaan aktif dalam bidang sosial, sukan dan kebudayaan mampu menyemai semangat kerja berpasukan, memperkukuh jaringan profesional, serta menyumbang kepada kesejahteraan fizikal dan mental warga kerja.
Majlis ini merupakan sebahagian daripada inisiatif berterusan MAKSAK Bahagian Sibu dalam memupuk keharmonian serta menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan penjawat awam pelbagai latar belakang.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu, Superintenden Boniface Bajai, Pegawai Tadbir Khas MiRRDA, Kathleen Lalai Eddie Saga, Ketua Seksyen Perancangan Strategik dan Pengurusan Projek, Pejabat Residen Sibu, Maria Nadja Jimmy Jalil, Temenggong Stanley Geramong; dan Ketua Seksyen Transformasi Sosial, Pejabat Residen Sibu, Nursyarmilla Jeruis.-EDISI UKAS
Lima Projek RTP 2024 Di Sarikei Diserah Kepada Kontraktor
SARIKEI: Sebanyak lima projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) Tahun 2024 bagi kawasan Parlimen Sarikei dan DUN Repok telah diserahkan secara rasmi kepada kontraktor terlibat dalam satu lawatan penyerahan tapak yang dianjurkan oleh Majlis Daerah Sarikei (MDS) baru-baru ini.
Penyerahan tapak tersebut telah disempurnakan oleh Kapitan Ling Dien Yong yang mewakili Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam merangkap Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii.
Majlis tersebut menandakan permulaan rasmi pelaksanaan kerja-kerja menaik taraf infrastruktur melibatkan rumah ibadat dan sekolah di sekitar Sarikei.
Dua projek rumah ibadat yang terlibat ialah Sarawak Full Gospel Church, yang akan menjalani kerja menaik taraf tandas sedia ada dan Yien Sung Methodist Church yang melibatkan kerja pemasangan jubin lantai, pemasangan pagar tangan keluli tahan karat serta kerja penurapan simen.
Sementara itu, tiga lagi projek melibatkan institusi pendidikan, iaitu di SJK (C) Wah Man yang akan menjalani pemasangan jubin lantai, pembinaan tembok penahan dan pemasangan bidai zebra di bilik kelas.
Di SK Selangan, kerja-kerja melibatkan kerja premix, penggantian atap bumbung blok pentadbiran, menaik taraf pondok sekuriti, serta pemasangan pelapisan dinding.
Manakala di SJK (C) Sze Lu, projek yang akan dilaksanakan merangkumi kerja menaik taraf pentas, stor serta pintu pagar utama sekolah.
Sementara itu, wakil komuniti dan penerima manfaat menzahirkan penghargaan kepada Dato’ Sri Huang atas usaha berterusan beliau dalam memperjuangkan keperluan infrastruktur masyarakat setempat melalui inisiatif pembangunan secara berperingkat.
Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Penolong Jurutera MDS, Joviana Joklin, bersama wakil-wakil syarikat kontraktor pelaksana.-EDISI UKAS