Program Jualan Rahmah Madani Bergerak Singgah Di Debak 5 Julai Ini

Posted on 02 Jul 2025
Source of News: UKAS


BETONG: Penduduk sekitar Rumah Panjang Dit Ulu, Debak bakal menikmati harga barangan keperluan harian yang lebih rendah menerusi Program Jualan Rahmah Madani Bergerak yang dijadualkan berlangsung pada 5 Julai ini.

Program anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) itu akan diadakan di Rumah Panjang Jembat, Dit Ulu, Debak, bermula jam 9 pagi hingga 3 petang.

Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada pendekatan kerajaan dalam membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat, khususnya komuniti luar bandar.

Program ini akan menawarkan pelbagai barangan asas harian seperti beras, minyak masak, gula, tepung dan lain-lain dengan harga yang jauh lebih rendah daripada pasaran.

Orang ramai, terutamanya penduduk tempatan, digalakkan hadir beramai-ramai bagi merebut peluang mendapatkan barangan keperluan harian pada harga mampu milik, selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI untuk memastikan kebajikan rakyat sentiasa terbela.

Program ini juga dijangka dapat merapatkan lagi hubungan antara pihak kerajaan dan rakyat melalui pendekatan turun padang yang menyeluruh dan inklusif.-EDISI UKAS