AI Tidak Mampu Ganti Sentuhan Manusia Dalam Kewartawanan

Disiarkan pada 02 Jul 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Teknologi Kecerdasan Buatan (AI) tidak mampu menggantikan sentuhan kemanusiaan dan empati meskipun membawa banyak kelebihan dalam industri kewartawanan.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata hasil tulisan yang dihasilkan melalui AI lebih sarat dengan fakta dan angka tetapi kurang elemen perasaan dan pengalaman sebenar berbanding tulisan wartawan berpengalaman.

"Sesetengah pakar berhujah bahawa AI hanya mampu mensimulasikan empati, tetapi tidak pernah benar-benar mengalami perasaan.

"Sebagai contoh, 'chatbot' mungkin menyatakan simpati terhadap kekecewaan seseorang, tetapi ia tidak mempunyai pengalaman emosi atau memahami kedalaman sebenar penderitaan manusia.

"Walaupun AI dapat menangkap corak dalam ekspresi manusia, adalah penting untuk kita sedar bahawa teknologi-teknologi ini menafsirkan tingkah laku manusia dalam bentuk kebarangkalian, bukan kepastian," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Persidangan Media Sarawak (SMEC) 2025 yang dirasmikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di sebuah hotel terkemuka di sini, pada Rabu.

Justeru, beliau menyeru agar golongan wartawan termasuk masyarakat perlu mempertahankan nilai murni, kemanusiaan dan nilai spiritual dalam era teknologi moden.

Datuk Abdullah memetik kata-kata usahawan terkenal dunia Elon Musk di mana masih ada pekerjaan dan profesion yang memerlukan kreativiti, empati dan kecerdasan emosi seperti kewartawanan, penjagaan, terapi, pendidikan, seni dan hospitaliti yang mungkin akan terus kekal penting.

"Peranan-peranan ini bergantung pada kualiti manusia yang unik dan tidak dapat ditiru oleh mesin.

"Oleh itu, kita semua harus bersatu dalam pandangan bahawa pembangunan AI mestilah meletakkan penekanan yang besar terhadap keselamatan, ketelusan dan pertimbangan etika," jelasnya.

Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, barisan Timbalan-Timbalan Menteri Sarawak, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee, Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Awang Putrayusrie Awang Redzuan, Ketua Pegawai Eksekutif Angkatan Zaman Mansang (AZAM) Ali Suhaili, ketua-ketua jabatan serta dif-dif kehormat lain. -EDISI UKAS