KUCHING: Orang ramai diseru untuk memuat turun aplikasi Sarawak Croc Watch bagi mengenal pasti kawasan-kawasan panas terutamanya di kawasan yang penampakan buaya.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah Dan Alam Sekitar Sarawak Datuk Len Talif Salleh berkata, aplikasi tersebut membolehkan orang ramai melaporkan sebarang penemuan atau kelibat buaya di kawasan tertentu.
"Justeru, kita memohon kerjasama daripada semua pihak. Kita juga telah melancarkan Sarawak CrocWatch, iaitu sebuah aplikasi yang boleh dimuat turun oleh mana-mana individu.
"Melalui aplikasi ini, kita telah mengumpul data di mana orang awam boleh memuat turun aplikasi tersebut dan mengenal pasti kawasan-kawasan yang berisiko tinggi.
"Oleh itu, sebarang penemuan atau sighting buaya boleh dimuat naik ke dalam aplikasi ini supaya orang ramai dapat memahami dan mengetahui lokasi kawasan yang berisiko tinggi, sekali gus dapat mengurangkan risiko ancaman daripada buaya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa Persidangan Media Sarawak (SMEC) 2025 di sebuah hotel terkemuka di sini pada Rabu.
Bagi membendung serangan buaya yang sering berlaku, Datuk Len Talif menekankan aspek pendidikan sebagai pengurangan risiko terhadap kejadian tersebut.
Beliau turut menyatakan antara langkah Kerajaan Sarawak kini adalah memindahkan buaya yang dikesan ke kawasan khas iaitu santuari buaya bagi memastikan keselamatan penduduk. -EDISI UKAS