KUCHING: Penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam penghasilan kandungan berita perlu disusuli dengan semakan fakta yang menyeluruh bagi menjamin ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan kepada masyarakat.
Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI), Ainol Amriz Ismail berkata, biarpun AI semakin meluas digunakan dalam bidang kewartawanan, ia tidak wajar dipercayai secara mutlak tanpa pengesahan oleh manusia.
“Jangan percaya 100 peratus kepada AI. Kadangkala jika arahan (‘prompt’) yang diberi tidak jelas, hasil yang diperoleh boleh menyimpang daripada maksud sebenar,” katanya dalam sesi perkongsian semasa Persidangan Media Sarawak 2025 di sebuah hotel terkemuka di sini, pada Rabu.
Persidangan tersebut dirasmikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Mengulas lanjut, Ainol turut membangkitkan isu penyebaran maklumat palsu yang semakin membimbangkan, khususnya melalui penggunaan teknologi “deepfake” yang berupaya memanipulasi wajah dan suara seseorang sehingga menyerupai individu sebenar.
Dalam konteks Malaysia, beliau memaklumkan bahawa sekitar 80 peratus wartawan kini telah mula menggunakan AI dalam proses penghasilan kandungan, namun hanya kira-kira 65 peratus pembaca menyatakan keyakinan terhadap kandungan yang dijana melalui teknologi tersebut.
“Dahulu, kita ke perpustakaan, rujuk buku atau akhbar lama untuk mendapatkan fakta.
"Kini, semuanya tersedia di hujung jari melalui AI. Tetapi, kita tetap perlu menyemak kesahihan maklumat sebelum menyiarkannya,” tegas beliau.
Tambahnya, wartawan masa kini juga perlu memahami asas analisis data seperti analisis sentimen bagi mengenal pasti kecenderungan dan penerimaan pembaca terhadap sesuatu artikel atau isu.-EDISI UKAS