Majlis Ngiling Bidai Gawai Dayak Mukah Perkasa Warisan Budaya Dayak

Disiarkan pada 01 Jul 2025
Sumber Berita: UKAS


MUKAH: Pesta Ngiling Bidai Gawai Dayak Peringkat Daerah Mukah 2025 telah disambut penuh meriah oleh komuniti rumah panjang di Rumah Dunstan Bee anak Malang, Sungai Bayan Ulu pada Isnin.

Majlis gilang-gemilang itu telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi yang turut memuji komitmen masyarakat rumah panjang dalam memelihara warisan budaya menerusi sambutan tradisi tahunan tersebut.

Menurut beliau, sambutan Ngiling Bidai bukan sekadar menandakan penutupan musim Gawai Dayak, malah menjadi platform penting dalam memperkukuh semangat perpaduan dan silaturahim dalam kalangan penduduk setempat.

Ujarnya, rumah panjang bukan sekadar tempat tinggal namun ia adalah institusi sosial dan budaya yang menjadi tonggak kepada identiti masyarakat Dayak.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa golongan muda agar terus diasuh dengan semangat cintakan budaya dan tidak melupakan asal usul masing-masing.

Sebagai Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perumahan Sarawak (HDC), beliau turut memaklumkan bahawa penduduk rumah panjang boleh memanfaatkan skim pinjaman perumahan HDC yang menawarkan dua jenis bantuan utama – RM30,000 bagi pengubahsuaian rumah panjang sedia ada dan RM50,000 bagi pembinaan baharu.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Pegawai Daerah Mukah, Peleadzman Ahip, Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias, Penghulu Thomas Tayai, serta Tuai Rumah Dunstan Bee Malang.

Majlis tersebut turut diserikan dengan persembahan kebudayaan, jamuan tradisional dan aktiviti kemasyarakatan yang mencerminkan keunikan serta semangat gotong-royong masyarakat Dayak di daerah Mukah.-EDISI UKAS