KUCHING: Usaha memelihara khazanah hutan Sarawak terus diperkukuh dengan penganjuran Bengkel Community-Based Conservation 2025 yang berlangsung di Raia Hotel and Convention Centre, Kuching, pada Isnin.
Seramai 66 peserta terdiri daripada komuniti yang terlibat dalam projek International Tropical Timber Organization (ITTO) di Ulu Baram, Anap–Muput, Ulu Mukah, serta komuniti dari kawasan projek Ecological Fiscal Transfer (EFT) di bawah seliaan Bahagian Hal Ehwal Antarabangsa, Jabatan Hutan Sarawak (JHS) telah menghadiri bengkel ini.
Bengkel tersebut menampilkan sesi perkongsian ilmu daripada pelbagai pihak, termasuk pegawai JHS, Pengerusi Jagoi Heritage Association, Pengurus KOPEL Kinabatangan, dan Ketua Pemuliharaan WWF-Malaysia.
Kehadiran mereka berjaya memperkaya pemahaman peserta mengenai pendekatan konservasi berasaskan komuniti.
Dalam ucapan perasmian, Pengarah Hutan Sarawak, Datu Hamden Mohammad menegaskan bahawa komuniti harus berfikiran terbuka dan tidak mudah terpengaruh dengan pandangan luar yang tidak memahami realiti pengurusan hutan serta perundangan.
"Saya mengingatkan bahawa komuniti perlu bijak menentukan hala tuju sendiri demi kepentingan tanah, hutan dan generasi akan datang, selain bersedia menyesuaikan diri dengan arus pembangunan," katanya dalam satu kenyataan media.
Sepanjang bengkel, beberapa wakil komuniti turut berkongsi kejayaan hasil kerjasama mereka dengan pihak swasta dan kerajaan.
Antaranya, Tuai Rumah Jana dari Anap–Muput dan Ulu Mukah menceritakan manfaat kerjasama dengan syarikat pembalakan seperti Zedtee Sdn. Bhd. yang membantu kelestarian hutan dan pembangunan ekonomi setempat.
Manakala Daud Sedin dari Ba’ Data Bila berkongsi kejayaan komuniti mereka memperoleh pelbagai kemudahan asas hasil sokongan syarikat swasta dan Kerajaan Sarawak.
Bengkel turut menyaksikan penyerahan rasmi tiga projek siap kepada komuniti di Ulu Baram, iaitu pembinaan Laluan Pejalan Kaki Long Lamam, Laluan Pejalan Kaki Lio Mato, dan penambahbaikan Sistem Air Graviti di Ba’ Muboi di mana kesemua projek ini siap sepenuhnya pada April 2025 hasil kerjasama JHS dan ITTO.
Menurut Datu Hamden lagi, JHS kekal komited melaksanakan inisiatif perhutanan sosial dan pembangunan komuniti, termasuk program latihan komuniti, projek pembangunan ekonomi alternatif berasaskan hasil hutan bukan kayu (NTFP), pengiktirafan Community Representative Committee (CRC) serta projek pemulihan ekosistem dengan penglibatan penduduk tempatan.
"Melalui pendekatan inklusif ini, komuniti bukan sahaja menjadi penerima manfaat, malah rakan strategik dalam pengurusan hutan secara lestari," tegasnya.
Tambah beliau, penganjuran bengkel ini menjadi bukti iltizam berterusan Kerajaan Sarawak untuk memperkasa komuniti sebagai rakan kongsi utama dalam usaha konservasi hutan, selaras dengan pendekatan Sustainable Forest Management (SFM) dan aspirasi pembangunan mampan wilayah ini. -EDISI UKAS