BSMM Miri Perkasa Usaha Tingkat Kesedaran Kesihatan Melalui Program “Blood & Organ Vitality 2.0”

Disiarkan pada 01 Jul 2025
Sumber Berita: UKAS


MIRI: Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Cawangan Miri terus memperkukuh peranannya dalam memacu agenda kesihatan awam dan kebajikan sosial menerusi pelancaran program Blood & Organ Vitality 2.0, yang dijadual berlangsung pada 19 Oktober 2025.

Penganjuran program itu diumumkan
oleh Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Penasihat BSMM Miri, Dato Sri Lee Kim Shin, dalam sidang media rasmi di BSMM Miri pada Selasa.

Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan platform seumpama ini dalam menggalakkan gaya hidup sihat dan mendidik masyarakat tentang isu pendermaan darah dan organ.

“BSMM Miri bukan sahaja berperanan dalam tindak balas kecemasan, malah menjadi antara organisasi yang ke hadapan dalam memperjuangkan kesihatan komuniti melalui program-program berimpak seperti ini,” katanya.

Antara pengisian utama Blood & Organ Vitality 2.0 ialah larian amal sejauh 5KM dan 10KM, serta sesi kesedaran kesihatan secara percuma yang dikendalikan oleh pakar pelbagai bidang.

Perkhidmatan yang ditawarkan pula termasuk pemeriksaan kesihatan asas, saringan (Human Papilloma Virus) HPV dan skoliosis, demonstrasi Resusitasi Kardiopulmonari atau CPR & Defibrilator luaran automatik (AED), serta kaunseling kesihatan umum.

Program ini menyasarkan penyertaan seramai 600 peserta, dengan pendaftaran awal berakhir pada 18 Julai 2025, dan pendaftaran umum ditutup pada 3 September 2025.

BSMM Miri turut mengumumkan sokongan padu daripada pelbagai penaja dan rakan strategik termasuk Mi Pharmacy, Prime Borneo Clinic Krokop, PERSOPAM, Mobility Matters, dan Best Hearing Aid Centre Miri.

Selain kesedaran kesihatan, program ini turut bertujuan mengumpul dana bagi menyokong operasi berterusan BSMM Miri meliputi Pusat Hemodialisis Permyjaya, Perkhidmatan ambulans komuniti, program derma darah & organ, unit rawatan luka dan Sunflower Centre bagi kanak-kanak istimewa.

BSMM Miri juga menyeru lebih ramai pihak dan individu termasuk badan bukan kerajaan (NGO), serta syarikat swasta, untuk tampil menyokong program ini yang bukan sahaja menyelamatkan nyawa, malah mengukuhkan semangat kebersamaan dalam komuniti.-EDISI UKAS