KUCHING: Platform pembayaran digital Sarawak, S Pay Global terus mencatatkan perkembangan positif dengan jumlah pengguna berdaftar kini mencecah 1,587,000 orang dan 94,700 peniaga setakat 15 Jun 2025.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi berkata, platform tersebut telah merekodkan sebanyak 138.16 juta transaksi dengan nilai keseluruhan melebihi RM5.21 bilion.
"Angka-angka ini menunjukkan pertumbuhan yang stabil serta penerimaan pembayaran digital di Sarawak, sekali gus menyokong usaha wilayah ini ke arah ekonomi digital tanpa tunai yang lebih inklusif," katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapannya yang dibacakan oleh Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (MUT) Syed Mohamad Fauzi Shahab dalam Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Digital Technology Nexus di sebuah hotel terkemuka di sini pada Selasa.
Selain itu, Dato Sri Julaihi menambah, Kerajaan Sarawak turut memberi perhatian serius terhadap pengurusan data raya (Big Data) bagi memastikan nilai data dapat dimaksimumkan dengan pemilikan Rangka Kerja Tadbir Urus dan Pengurusan Data yang komprehensif, yang memberi penekanan kepada aspek manusia, proses dan teknologi.
"Pelan tindakan secara berfasa akan dilaksanakan tahun ini yang merangkumi pembangunan dasar, pembinaan keupayaan dan pelaksanaan operasi bagi memastikan Sarawak terus berada di landasan kukuh sebagai peneraju ekonomi digital di rantau ini," jelasnya.
Hadir sama, Naib Canselor UNIMAS Profesor Dr Ahmad Hata Rasit, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Profesor Dr Fitri Suraya Mohamad Hapni Joblie, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Profesor Ir Dr Siti Noor Linda Taib, Penolong Naib Canselor (Libat Urus Industri dan Komuniti serta Kelestarian) Profesor Madya Ts Noraziah Abdul Wahab dan Ketua Pegawai Digital Profesor Dr Wan Hashim Wan Ibrahim. -EDISI UKAS