SIBU: Sarawak terus melangkah ke hadapan dalam usaha menjadi hab tenaga hijau serantau menjelang tahun 2035, selari dengan aspirasi negara untuk muncul sebagai ‘Battery of ASEAN’.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, negeri ini kini memiliki keupayaan penjanaan elektrik sebanyak 5.8 gigawatt (GW), berbanding permintaan semasa sekitar 4.897 GW, sekali gus menyediakan lebihan tenaga yang signifikan untuk memperluas pembangunan industri.
Menurut beliau, kapasiti penjanaan tenaga dijangka meningkat kepada 10 GW menjelang 2030 dan seterusnya 15 GW menjelang 2035, dengan 60 peratus daripadanya disumbangkan oleh sumber tenaga boleh diperbaharui.
“Ini bermakna majoriti tenaga elektrik Sarawak dihasilkan daripada sumber bersih dan mesra alam,” jelasnya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Sijil Akreditasi Latihan dan Peperiksaan Bertauliah untuk Rekabentuk Sistem Solar PV di Universiti Teknologi Sarawak (UTS) di sini pada Isnin.
Majlis tersebut merupakan hasil kerjasama antara UTS dan Entera Technology Academy Sdn Bhd, yang turut dihadiri oleh Pengarah Urusan Entera, Ir. Dr. Abang Hatta Abang Taha dan Naib Canselor UTS, Prof. Datuk Dr. Khairuddin Ab. Hamid dengan kehadiran kira-kira 100 orang peserta.
Sementara itu tambahnya, Sarawak kini giat melaksanakan projek loji solar terapung di beberapa empangan utama negeri seperti Batang Ai, Murum dan Bakun.
Di empangan Batang Ai sahaja, tenaga solar berkapasiti 50 megawatt telah dijana sejak Disember lalu, menggunakan hanya 3 peratus daripada permukaan empangan tersebut.
“Ini membuktikan potensi besar tenaga solar terapung yang boleh dimanfaatkan secara lebih meluas.
"Kita sasarkan untuk menjana sehingga 1,500 megawatt tenaga solar pada masa akan datang,” tambah beliau.
Mengulas keperluan sumber manusia, Dato Sri Julaihi menegaskan bahawa pembangunan industri tenaga hijau perlu disokong oleh tenaga kerja mahir dan bertauliah.
Justeru, UTS dan Entera telah diberikan akreditasi untuk melatih profesional dalam bidang reka bentuk dan pemasangan sistem solar PV.
“Kita sedang membina ekosistem tenaga kerja di seluruh Sarawak dengan kerjasama 32 pusat latihan, termasuk bagi melatih ‘chargeman’, juruelektrik pemasangan, wireman dan sebagainya,” katanya.
Beliau turut mengaitkan pembangunan tenaga kerja dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030, yang menyasarkan pertumbuhan ekonomi berpendapatan tinggi menerusi enam sektor keutamaan, termasuk tenaga boleh diperbaharui.
“Tenaga elektrik adalah pemacu utama pembangunan ekonomi.
"Sarawak mempunyai potensi besar dalam tenaga hijau dan kita bersedia untuk memainkan peranan penting sebagai ‘Battery of ASEAN’,” tegasnya.-EDISI UKAS