Lawatan Ke Tapak Projek Balai Bomba dan Penyelamat Dalat, Tanda Komitmen Terhadap Keselamatan Komuniti

Disiarkan pada 01 Jul 2025
Sumber Berita: UKAS


DALAT: Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat, Dato Sri Fatimah Abdullah turun padang bagi meninjau tapak cadangan bagi Projek Pembangunan Balai Bomba dan Penyelamat Dalat pada Isnin.

Lawatan tersebut turut disertai Residen Bahagian Mukah, Datu Kueh Lei Poh, Timbalan Pengarah Bomba Negeri Sarawak, Tiong Ling Hii dan Pengerusi Majlis Daerah Dalat dan Mukah (MDDM), Kr. Arini Suhaili.

Menurut Dato Sri Fatimah, pembinaan balai bomba ini amat signifikan memandangkan ia merupakan antara permintaan lama penduduk Dalat dan akhirnya berjaya diluluskan di bawah Rolling Plan Kelima (RP5) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

“Saya menyeru semua agensi berkaitan untuk turun padang dari peringkat awal pelaksanaan bagi memastikan kelancaran projek ini,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa lokasi pembinaan berdekatan Kompleks Kebajikan Dalat adalah tepat kerana ia sejajar dengan perancangan mewujudkan New Dalat Service Centre.

Projek tersebut diluluskan dengan peruntukan sebanyak RM9.8 juta dan dijadual bermula pada awal tahun 2026, dengan tempoh pembinaan selama 19 bulan serta dijangka siap pada tahun 2027.

Selain bangunan utama, projek ini turut merangkumi pembinaan kuarters berbentuk apartmen untuk kegunaan anggota bomba yang akan ditempatkan di Dalat.

“Bahagian Mukah mendahului bahagian lain kerana kita telah mempunyai lokasi dan tanah yang telah pun diluluskan.

"Sekiranya terdapat keperluan tambahan pada masa hadapan, kuarters ini akan dapat menampung keperluan kakitangan yang bertugas di Dalat,” ujarnya.

Projek ini dijangka bukan sahaja meningkatkan tahap kesiapsiagaan kecemasan di kawasan Dalat, tetapi juga menyumbang kepada pembangunan infrastruktur keselamatan yang lebih mampan di Bahagian Mukah.-EDISI UKAS