29 Pelajar Cemerlang SPM 2024 SMK Meradong Terima Insentif Galakan Pendidikan

Disiarkan pada 30 Jun 2025
Sumber Berita: UKAS


MERADONG: Seramai 29 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meradong telah menerima insentif penghargaan dalam satu majlis khas yang berlangsung di dewan sekolah berkenaan pada Isnin.

Majlis penyampaian insentif telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing, sebagai tanda penghargaan terhadap pencapaian pelajar yang telah mengharumkan nama sekolah dalam keputusan peperiksaan yang lalu.

Dalam ucapannya, Datuk Ding menegaskan bahawa insentif tersebut bukan sahaja sebagai ganjaran, tetapi juga sebagai dorongan berterusan kepada pelajar lain untuk terus cemerlang.

“Insentif ini adalah motivasi kepada pelajar Tingkatan 3, 4 dan 5 agar terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan akan datang,” katanya.

Beliau turut menggalakkan lebih ramai pelajar menyertai aliran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), selaras dengan keperluan semasa dan fokus pembangunan modal insan negeri.

Menurutnya lagi, Kerajaan Sarawak akan melaksanakan dasar pendidikan tinggi percuma mulai tahun 2026 untuk anak-anak Sarawak dalam bidang teras seperti perubatan, kewangan, perakaunan dan undang-undang.

Beliau menambah, bagi keluarga berpendapatan RM1,500 ke bawah, pelajar akan menerima elaun sara hidup sebanyak RM15,000 setahun bagi menampung perbelanjaan sepanjang tempoh pengajian.

Sebagai tanda komitmen terhadap pendidikan di kawasan Meradong, Datuk Ding turut mengumumkan peruntukan di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) tahun 2026 berjumlah RM150,000 untuk menaik taraf prasarana Dewan SMK Meradong termasuk pemasangan penghawa dingin baharu.

Beliau juga memaklumkan bahawa jumlah insentif pelajar cemerlang SPM dan STPM akan ditambah pada tahun akan datang sebagai galakan untuk meningkatkan pencapaian akademik.

Turut hadir ialah Pengetua SMK Meradong, Poh Chie Teck dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Meradong, Cherida Igu.-EDISI UKAS