Kerjasama Semua Pihak Bantu JTK Wujudkan Ekosistem Pekerjaan Inklusif

Disiarkan pada 30 Jun 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Semua pihak termasuk majikan, pekerja, institusi latihan serta masyarakat setempat diseru untuk terus bekerjasama erat dengan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sarawak dalam usaha mewujudkan ekosistem pekerjaan yang inklusif, adil dan progresif di wilayah ini.

Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willlie Mongin berkata, kerjasama ini amat penting memandangkan JTK Sarawak menjadi badan yang bertanggungjawab dalam memastikan kebajikan pekerja sentiasa terbela dan polisi terkini kerajaan dapat disampaikan kepada pekerja di seluruh wilayah.

“Setelah pindan terhadap Ordinan Buruh (Sarawak Bab 76) dikuatkuasakan pada 1 Mei 2025, JTK Sarawak sangat proaktif dengan mengadakan pelbagai program serta inisiatif bagi memastikan pekerja serta majikan di Sarawak peka dengan perubahan dan penambahbaikan peruntukan dalam Ordinan Buruh (Sarawak Bab 76).

“Antaranya ialah cuti materniti, cuti paterniti, waktu kerja yang dikurangkan dan pelbagai lagi, ujar beliau.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Hari Bertemu Pelanggan Kementerian Sumber Manusia dan ‘Flag Off Labour Go Rural Area Programme’ (LGRAP) 6.0 di Bangunan Sultan Iskandar, di sini, pada Isnin.

Selain itu, Datuk Willie menegaskan bahawa, JTK Sarawak turut bertindak sebagai perantara dalam menyelesaikan pertikaian antara pekerja dan majikan secara adil dan beretika demi memelihara keharmonian di tempat kerja.

Berhubung dengan LGRAP 6.0, beliau menyifatkan usaha murni ini secara langsung akan menyediakan satu platform bagi memudahkan orang awam terutamanya majikan dan pekerja untuk mendapatkan khidmat nasihat serta perkhidmatan yang disediakan oleh semua jabatan dan agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).

“Inisiatif JTK Sarawak untuk menganjurkan LGRAP 6.0 merupakan sesuatu yang boleh dibanggakan dalam usaha untuk merakyatkan perkhidmatan kerajaan dengan kaedah pendekatan secara ‘outreach’.

“Saya percaya dengan adanya program sebegini yang turut diselitkan dengan aktiviti pendidikan serta ceramah perburuhan, pameran dan kaunter khidmat nasihat, sedikit sebanyak akan menyedarkan orang ramai berkenaan hak mereka sebagai pekerja yang terlindung di bawah undang-undang perburuhan negara,” ujar beliau lagi.

LGRAP 6.0 menyaksikan sebanyak 32 buah kereta pacuan empat roda akan berkonvoi dari Kuching hingga ke Limbang sebagai usaha menyampaikan maklumat terkini kepada masyarakat di luar bandar.

Hadir sama, Pengarah Tenaga Kerja Sarawak Awang Raduan Awang Omar dan Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Sarawak Jamadi Yusup. -EDISI UKAS