Ngiling Bidai Daerah Gedong 2025 Cerminan Perpaduan dan Pemeliharaan Budaya

Disiarkan pada 29 Jun 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Majlis Ngiling Bidai sempena penutupan Sambutan Gawai Dayak Daerah Gedong Tahun 2025 yang diadakan di Hotel Raia Kuching pada Ahad, menjadi platform penting memperkukuh perpaduan masyarakat berbilang kaum serta memperkasakan usaha pemeliharaan budaya dan warisan etnik Dayak di Sarawak.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menegaskan bahawa majlis tersebut bukan sekadar acara penutup Gawai, tetapi mencerminkan nilai-nilai yang menjadi kekuatan kepada Sarawak.

“Majlis ini bukan sekadar acara penutup Gawai, tetapi merupakan satu lambang penghargaan terhadap hasil tuaian, simbol kekeluargaan, dan kekuatan perpaduan dalam masyarakat berbilang kaum di Sarawak,” katanya dalam teks ucapan rasmi yang dibacakan oleh Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee semasa majlis tersebut.

Menurut beliau, penganjuran majlis sedemikian mempunyai objektif yang jelas iaitu menyatakan penghargaan atas hasil tuaian dan menzahirkan rasa kesyukuran, memupuk semangat kekeluargaan dan perpaduan, memelihara serta memartabatkan adat dan budaya Dayak agar tidak lenyap ditelan zaman, selain menyokong agenda pembangunan luar bandar secara menyeluruh dan inklusif.

Premier Sarawak menambah, penglibatan 55 buah kampung meliputi Zon Ulu, Zon Pangkor dan Zon Proper menunjukkan semangat kerjasama dan komitmen tinggi masyarakat dalam menjayakan majlis berkenaan.

Di samping itu, beliau turut menyeru semua pihak untuk terus memupuk semangat toleransi, saling menghormati serta bekerjasama demi kemajuan negeri yang makmur dan sejahtera.

Dalam majlis yang penuh warna-warni budaya itu, hadirin turut mengambil kesempatan menzahirkan doa dan penghormatan kepada isteri kepada Premier Sarawak, Allahyarhamah Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, yang telah kembali ke rahmatullah pada 23 Jun lalu.

Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Majlis Ngiling Bidai Daerah Gedong 2025, Dato Sri Mohd. Naroden Majais; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris; Residen Bahagian Samarahan, Mohd Irwan Bahari Bujang; Pegawai Daerah Gedong, Tamida Da’adi serta barisan Temenggong Bahagian Samarahan iaitu Temenggong Mohad @ Geoffrey Mamat Kuchai (Iban), Temenggong Chek Bujang (Melayu) dan Temenggong Liew Shark Sen (Cina).-EDISI UKAS