BINTULU: Sarawak Full Gospel Church Cawangan Bintulu hari ini menerima sumbangan sebanyak RM250,000 daripada Kerajaan Sarawak menerusi Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) dalam satu majlis penyerahan cek yang diadakan di gereja berkenaan, di sini pada Ahad.
Penyerahan cek disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming.
Dalam ucapannya, beliau merakamkan penghargaan kepada pihak gereja atas peranan yang dimainkan dalam memperkukuh perpaduan dan keharmonian masyarakat setempat.
"Sumbangan ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam menyokong pembangunan institusi keagamaan bukan Islam di negeri ini,” katanya.
Menurut beliau, kerajaan sentiasa memahami keperluan gereja dan badan keagamaan lain dalam usaha menambah baik kemudahan serta prasarana mereka.
Beliau turut berharap agar peruntukan tersebut dapat dimanfaatkan untuk kerja-kerja penaiktarafan bangunan serta memperkasa peranan gereja dalam memenuhi keperluan rohani dan sosial masyarakat.-EDISI UKAS