Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II Brunei Darussalam Tiba Di Kuching Untuk Lawatan Kerja Rasmi

Disiarkan pada 29 Jun 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II Brunei Darussalam, Dato Seri Setia Erywan Pehin Datu Pekerma Jaya Yusof, selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada malam Ahad bagi rangka kerja rasmi di Kuching.

Ketibaan beliau pada jam 8.50 malam Ahad disambut oleh Konsul Agung Negara Brunei Darussalam Sheikh Abdul Mahdani Datuk Paduka Sheikh Abdul Gani.

Turut mengiringi beliau dalam lawatan ini ialah Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri Brunei Darussalam, Pengiran Datin Paduka Shazainah Pengiran Dato Paduka Shariffudin, bersama dua pegawai kementerian, Syamin Nabilah Daud dan Dayangku Nor Zaidah Pengiran Shahminan.

Dalam atur cara lawatan kerja tersebut, Dato Seri Setia Erywan dijadual mengadakan pertemuan rasmi bersama Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Pertemuan ini dijangka membincangkan peluang kerjasama dua hala antara Sarawak dan Brunei Darussalam dalam bidang pelaburan, perdagangan rentas sempadan dan pembangunan ekonomi serantau.

Lawatan ini mencerminkan hubungan diplomatik yang erat antara Brunei Darussalam dan Sarawak, sekali gus memperkukuh kerjasama strategik dalam pelbagai sektor yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak. -EDISI UKAS