KUCHING: Pasukan The Masterpiece melaungkan amaran awal kepada pencabar lain yang bersaing dalam Liga Novis Megalanes Sarawak apabila berjaya menduduki carta kedudukan tiga teratas.
Dalam aksi minggu kedua di Megalanes Sarawak, Emart Batu Kawa, pasukan diwakili Adrian Law, Kathleen Cherinie dan Timothy Umpi itu berjaya menjinakkan lawannya dengan kemenangan 20-0.
Kemenangan bergaya ini membolehkan mereka memperoleh 36.50 mata Peterson, menjadikan jumlah mata keseluruhan dikumpul mereka setakat ini sebanyak 67.66.
Strike Force dan Wonder Women pula masih mengekalkan kedudukan masing-masing di tempat pertama dan kedua selepas menewaskan lawan mereka.
Namun begitu, kedudukan Strike Force kini terancam kerana Wonder Women hanya ketinggalan 0.88 mata Peterson di belakang mereka.
Kamaludin Sibang dari Strike Force berjaya meraih kedudukan pertama dalam kategori Individual High Series (Scratch) dengan jumlah jatuhan pin sebanyak 714.
Sementara itu, rakan sepasukannya, Mohd Zulkifli Rahmad meraih kedudukan dalam kategori Best Senior (Handicap) dengan 641 jatuhan pin.
Ini membawa pasukan mereka di kedudukan kedua dalam kategori Team High Series (Scratch) dengan 1916 jatuhan pin.
Sementara itu, pasukan Wonder Women yang menampilkan persembahan hebat oleh Sarina Salleh, Lily Ubong Jalong dan Azean Arbi berjaya meraih kedudukan pertama dalam kedua-dua kategori Team High Game (Handicap) and Team High Series (Scratch), masing-masing dengan jatuhan 518 dan 1970 pin.
Halina Ismawi dari pasukan D’Cops meraih kedudukan pertama dalam kategori Individual High Game (Handicap) dengan 208 jatuhan pin.
Pasukan yang menduduki tempat keempat hingga ke-16 ialah PTBPNS 1, Rollin’ Strike, D’Cops, PTBPNS 2, Pinhead, Leadies Bowler III, Ahjin Guild, SSC X MYSED, Split Bowlers, SDO Mixed, Zero Strike, Panthers Bowlers dan Nyo Bowlers KRMK. - EDISI UKAS