KUCHING: Gabungan seni, muzik klasik dan rekaan fesyen tempatan menyerlahkan keunikan Alta Moda Musical Soirée 2, yang berlangsung di Hotel Waterfront pada Ahad.
Acara anjuran Prodigy dengan kerjasama Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) itu bukan sekadar pertunjukan seni, malah menjadi medan pendedahan kepada bakat muda tempatan dalam industri kasut berinspirasi couture.
Melalui kerjasama strategik bersama Kursus Artisan Kasut CENTEXS dan Tradisi Busana PR Sdn Bhd, acara ini memperlihatkan bagaimana elemen ketukangan tempatan dipadukan dengan persembahan opera klasik seperti Aria Puccini dan fesyen couture, sekali gus mengetengahkan nilai estetika dan kelestarian dalam produk seni.
Ketua Pegawai Eksekutif CENTEXS, Dato Syeed Wohd Hussien Wan Abdul Rahman berkata, aspirasi pihaknya bukan sahaja menjurus kepada teknologi moden seperti kecerdasan buatan dan robotik, malah merangkumi pemerkasaan industri kasut tempatan.
“Menerusi pertemuan dengan Profesor Jimmy Choo pada 2022, tercetus idea penubuhan akademi kasut berinspirasikan couture yang pertama seumpamanya di dunia.
“Hasilnya, kita telah menghantar hampir 40 pelajar ke luar negara termasuk ke Indonesia dan Itali bagi mendalami ilmu secara langsung dalam industri ini,” jelas beliau.
Menurutnya, pengalaman sebenar di lapangan memberi impak lebih besar berbanding teori semata-mata, selari dengan pendekatan holistik CENTEXS dalam pembangunan bakat.
Acara turut diserikan dengan penampilan istimewa penyanyi dan Miss World Talent 2014, Dewi Liana Seriestha serta Miss World Malaysia 2018, Larissa Ping, yang memperagakan koleksi kasut eksklusif rekaan Zamida Khadijah Abdul Wahed di bawah jenama Ida Hanicomb.
Alta Moda Musical Soirée 2 membuktikan bahawa apabila seni dan latihan kemahiran digabungkan secara kreatif, ia mampu melahirkan produk bernilai tinggi yang mampu menembusi pasaran antarabangsa.-EDISI UKAS