KUCHING: Karnival Sukan Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED) menjadi platform kepada warga kerja kementerian mengamalkan gaya hidup sihat melalui penyertaan aktif dalam aktiviti sukan.
Menterinya, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, penglibatan dalam karnival seperti ini bukan sahaja menyumbang kepada kesihatan tubuh badan, malah memupuk budaya bersukan dalam kalangan penjawat awam.
"Apabila kita bersukan, sama ada dari kementerian atau Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), secara langsung kita mengamalkan gaya hidup sihat. Untuk bertanding, mesti ada sesi latihan.
"Dari situ, secara tidak langsung kita menjaga pemakanan dan berat badan seperti atlet,” katanya semasa Majlis Jamuan Hi-Tea sempena karnival berkenaan di Perkampungan Sukan Sarawak (SSV), di sini pada Ahad.
Beliau yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak mencadangkan agar karnival ini diteruskan pada masa akan datang dan diperluas pelaksanaannya ke kawasan lain seperti Sibu, Bintulu dan Miri.
Katanya, penganjuran di lokasi lain boleh dilaksanakan menerusi geran daripada Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP).
Dalam pada itu, pasukan Hornbill Xtroopers 13 yang diwakili agensi SSC dan Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) dinobatkan sebagai juara keseluruhan Karnival Sukan MYSED 2024.
Turut hadir, Timbalan Menteri MYSED, Datuk Dr Ripin Lamat, Setiausaha MYSED, Morshidi Frederick serta tetamu kehormat lain.-EDISI UKAS