Warga Pendidik ‘Game Changer’ Masa Depan Negara

Posted on 29 Jun 2025
Source of News: UKAS


SIBU: Penjawat awam khususnya warga pendidik perlu bersikap terbuka dan bersedia untuk menerima perubahan demi kemajuan yang lebih baik.

Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang Dan Adat Bumiputera), Datuk Jefferson Jamit Anak Unyat berkata warga pendidik adalah catalyst dan ‘game changer’ untuk masa depan negara kita.

Katanya, penggunaan pendekatan konvensional untuk menyelesaikan masalah atau menggubal dasar tidak lagi akan berkesan dalam zaman kecerdasan buatan (AI) pada masa kini.

“Sejarah membuktikan bahawa warga pendidik adalah ejen perubahan yang efektif dan tidak dinafikan dalam pembangunan dan perkembangan pendidikan negara,” katanya semasa menyempurnakan majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) di sini pada Sabtu.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Goram turut mengajak para pendidik untuk menghayati tanggungjawab yang diberikan sebagai amanah yang perlu digalas dengan sebaiknya.

Katanya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) amat memerlukan warga kerja yang professional, progresif, kreatif, inovatif, berketerampilan, dan bijaksana yang holistik untuk bersama-sama menjayakan semua dasar pendidikan kerajaan.

“Oleh itu saya ingin menyeru agar semua pegawai dan warga kerja sekolah untuk terus memberikan perkhidmatan yang efektif, berakauntabilti, berintegriti, amanah dan progresif seiring dengan kepesatan tranformasi kemajuan teknologi dan era digital kini yang mampan,” katanya.

Beliau turut memetik kata-kata pejuang hak awam tersohor Amerika Syarikat, Martin LutherKing Jr, “The function of education is to teach one to think intensively and to think critically. Intelligence plus character –that is the goal of true education.”

Di akhir ucapannya, beliau mahu para penerima APC untuk mengekalkan rentak kecemerlangan dan komitmen yang telah ditunjukkan selama ini dan mendokong usaha kerajaan ke arah kecemerlangan pendidikan Daerah Kapit.

Seramai 124 penerima APC yang menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang tahun 2024 diraikan dalam majlis itu. - EDISI UKAS