Kekalkan Budaya Balik Bergawai, Kenali Asal Usul Budaya Dayak

Disiarkan pada 22 May 2024
Sumber Berita: UKAS




KUCHING: Masyarakat Dayak Sarawak harus mengekalkan budaya balik kampung pada musim perayaan Gawai Dayak amnya.

Temenggong Masyarakat Iban Bahagian Kuching, Nelson Kloni berkata dengan dunia yang semakin maju ke arah kemodenan, generasi muda harus mengekalkan budaya di samping mempelajari adat resam yang telah lama dipegang pada setiap sambutan perayaan Gawai Dayak.

"Gawai Dayak adalah perayaan tahunan yang penting di mana mempraktikkan tradisi pulang ke kampung adalah penting untuk generasi muda mempelajari, memahami dan menghargai budaya asal kita seperti yang diajar di kampung," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi temubual ekslusif bersama Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) di Studio UKAS pada Selasa.

Temenggong Nelson menambah, tradisi yang diamalkan oleh orang tua-tua dahulu telah memainkan peranan penting dalam membentuk budaya Dayak hari ini.

Menurut beliau, untuk memahami dengan mendalam mengenai tradisi seperti ‘Miring’ yang dipersembahkan semasa Gawai Dayak, satu-satunya cara adalah dengan pulang ke kampung masing-masing untuk melihat bagaimana orang tua di kampung melaksanakannya.

“Selain itu, saya amat setuju dengan adanya seperti ‘Niti Daun’ yang diadakan pada setiap tahun dan menjadi acara tahunan di Sarawak bagi memperkenalkan budaya dan pakaian tradisi masyarakat Dayak di Sarawak di samping meningkatkan lagi sektor pelancongan di Sarawak amnya,” jelasnya lagi.-EDISI UKAS