ASAJAYA: Pejabat Agama Islam Bahagian Samarahan dengan kerjasama Jawatankuasa Pengurusan Masjid An-Najah, Asajaya telah menganjurkan Majlis Doa Akhir dan Awal Tahun Hijrah 1446H/1447H, sempena Sambutan Maal Hijrah Bahagian Samarahan Tahun 1447H/2025M, bertempat di Masjid An-Najah, Daerah Asajaya.
Majlis yang berlangsung ini telah bermula pada jam 5.30 petang Khamis, dengan penglibatan aktif daripada pelbagai lapisan masyarakat serta pimpinan setempat.
Majlis dimulakan dengan bacaan doa akhir tahun 1446H dan diteruskan dengan solat Maghrib berjemaah. Kemudian, doa awal tahun 1447H telah dipimpin oleh Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam, Ustaz Anwar Musadad Muhammad Tajuddin.
Slot bacaan yassin sempena Awal Muharam dipimpin oleh Pegawai Agama Islam Bahagian Samarahan, Ustaz Bahrin Kawi.
Penganjuran majlis ini bertujuan menyemarakkan semangat Maal Hijrah dan memupuk kesedaran rohani dalam kalangan masyarakat Islam, di samping memperkukuh ikatan ukhuwah antara pemimpin dan rakyat melalui pendekatan keagamaan yang menyeluruh dan inklusif.
Turut hadir ialah Timbalan Residen Bahagian Samarahan, Rais Ahmat, Pegawai Daerah Asajaya, Jerry Zainuddin Bidin, Temenggong Bahagian Samarahan, Chek Bujang, ketua-ketua kaum dan ketua masyarakat dari Daerah Asajaya dan Daerah Kecil Sadong Jaya.-EDISI UKAS