Muhammad Hafiz & Norhashimah Johan Qari & Qariah Tilawah Al-Quran Peringkat Bahagian Betong 2025

Disiarkan pada 26 Jun 2025
Sumber Berita: UKAS


KABONG: Muhammad Hafiz Pelira dan Norhashimah Marzuki dinobatkan sebagai Johan Qari dan Qariah Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Bahagian Betong Tahun 2025 yang berlangsung di Masjid Assabirin Kabong pada Rabu.

Kemenangan tersebut melayakkan mereka yang masing-masing berasal dari Saratok dan Kabong membawa pulang wang tunai RM1,000, sijil penyertaan, serta piala iringan.

Dalam kategori Qari, tempat kedua dimenangi oleh Mohammad Zahary Masor dari Betong, manakala tempat ketiga disandang oleh Sulaiman Ayup, juga dari Betong.

Sementara itu, Nur Saidatul Hanisah Saleman dari Kabong dan Rosnani Junaidi dari Saratok masing-masing meraih tempat kedua dan ketiga bagi kategori Qariah.

Pemenang tempat kedua menerima RM700, manakala tempat ketiga membawa pulang RM500; masing-masing turut menerima sijil dan piala iringan.

Majlis tilawah ini berlangsung selama dua hari bermula 24 hingga 25 Jun 2025 dan dirasmikan penangguhannya oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir.

Program tahunan ini dianjurkan oleh Jawatankuasa Tetap Perayaan Islam Bahagian Betong dengan kerjasama Pejabat Daerah Kabong, Pejabat Agama Islam Bahagian Betong, serta Jawatankuasa Pengurusan Masjid Assabirin Kabong.

Seramai 12 orang peserta telah menyertai pertandingan, terdiri daripada enam Qari dan enam Qariah dari seluruh Bahagian Betong.

Penganjuran ini bertujuan untuk memperkukuhkan syiar Islam, memupuk kecintaan terhadap al-Quran dan mencungkil bakat qari dan qariah muda dari seluruh Bahagian Betong.-EDISI UKAS