Karnival Beting Maro 2025 Tampil Pelbagai Aktiviti Menarik September Ini

Disiarkan pada 25 Jun 2025
Sumber Berita: UKAS


PUSA: Persiapan bagi penganjuran Karnival Beting Maro (KBM) 2025 semakin giat dijalankan menerusi Mesyuarat Bil. 3/2025 yang diadakan di Dewan Al-Amin, Beladin pada Rabu.

Mesyuarat anjuran Pusat Khidmat N.29 Beting Maro itu dipengerusikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro, Razaili Gapor, dengan kehadiran wakil-wakil jabatan kerajaan dan ketua masyarakat sekitar Pusa dan Beladin.

Menurut Razaili, KBM 2025 akan menampilkan pelbagai aktiviti menarik untuk orang ramai, termasuk sukan rakyat, pameran agensi kerajaan dan institusi pengajian tinggi, sukaneka dan promosi hasil tempatan seperti produk berasaskan nipah dan sagu.

“Kita mahu tonjolkan kekuatan ekonomi kawasan ini yang kaya dengan sumber semula jadi seperti nipah, apong dan hasil perikanan.

"Karnival ini juga peluang untuk penduduk tempatan memasarkan produk mereka dan membuka peluang ekonomi baharu,” jelasnya.

Karnival Beting Maro 2025 akan berlangsung dari 6 hingga 14 September 2025 bertempat di Dataran Temenggung Kadir, Beladin.

Turut hadir dalam mesyuarat tersebut ialah Penolong Pegawai Daerah Pejabat Daerah Pusa Evie Michelle Lamun, Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Pusa Anthony Peter Mihe Noel, Pegawai Khas kepada ADUN Beting Maro Awang Sarbini Gapor, Pemanca Daerah Pusa Rosli Uji, Penghulu Zon Pusa Bujang Beni, Penghulu Zon Beladin Zakaria Mos serta Penghulu Kampung Spinang, Semarang dan Batang Maro Musa Zin.-EDISI UKAS