Projek Naik Taraf Landasan STOLport Bario Sedang Giat Dilaksanakan

Disiarkan pada 25 Jun 2025
Sumber Berita: UKAS


BARIO: Projek menaik taraf lapangan terbang landasan pendek (STOLport) Bario yang kini sedang giat dilaksanakan dijangka meningkatkan kecekapan operasi serta tahap keselamatan, dan membolehkan pesawat Twin Otter beroperasi pada kapasiti maksimum seramai 19 orang penumpang bagi setiap penerbangan.

Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, pada masa ini, penggunaan landasan sedia ada adalah terhad kepada sembilan orang penumpang setiap penerbangan, berdasarkan peraturan keselamatan yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

"Setelah kerja-kerja menaiktaraf termasuk pemanjangan dan penurapan semula landasan disiapkan kelak, had berat pesawat serta jumlah penumpang dapat ditingkatkan.

"Ini akan membolehkan pesawat jenis Twin Otter membawa kapasiti penuh sebanyak 19 orang penumpang dengan selamat, sekali gus memberi manfaat besar kepada komuniti pedalaman di Bario," ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media mengenai lawatan tapak ke STOLport Bario bagi meninjau perkembangan pelaksanaan projek pada Selasa.

Setakat Mei 2025, kemajuan fizikal sebenar projek telah mencapai sebanyak 30.46 peratus berbanding jadual asal sebanyak 26.63 peratus iaitu lebihan prestasi sebanyak 3.83 peratus.

Tarikh serah tapak adalah pada 4 September 2024, dan projek dijangka siap pada 3 Mac 2026, dengan tempoh kontrak selama 18 bulan.

Projek menaiktaraf STOLport Bario dilaksanakan dengan peruntukan melebihi RM20 juta yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pengangkutan Malaysia.

Skop utama projek melibatkan pemanjangan landasan sedia ada daripada 671 meter kepada 930 meter dengan lebar 18 meter, bagi membolehkan pesawat berlepas dengan muatan penuh termasuk bagasi.

Dalam pada itu, Dato Sri Lee Kim Shin turut menjelaskan bahawa operasi penerbangan di STOLport Bario dipengaruhi oleh faktor cuaca, di mana semua jadual penerbangan hanya dibenarkan sehingga jam 4 petang setiap hari.

Sehubungan itu, beliau akan berbincang bersama Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen Dan Pemantauan Projek) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu Datuk Gerawat untuk mencari penyelesaian bagi menampung lebih penumpang waktu perayaan seperti Pesta Nukenen dan Hari Krismas termasuk melihat keperluan penambahan kekerapan penerbangan sebagai langkah memperkukuh jaringan pengangkutan udara ke kawasan Bario.

Selain itu, projek ini turut merangkumi kerja penurapan semula landasan asal bagi meningkatkan ketahanan dan keselamatan permukaan, pembinaan clearway baharu untuk memperbaiki prestasi ketika berlepas, pemasangan pagar perimeter baharu demi keselamatan kawasan, serta pemasangan penunjuk arah angin dan Sistem Cuaca Automatik Meteorologi (AWS) yang baharu bagi membantu pemantauan cuaca dan perancangan penerbangan.

Selain skop sedia ada, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, Kementerian Pengangkutan Sarawak turut memohon peruntukan tambahan daripada Kerajaan Persekutuan bagi membina sambungan apron parkir pesawat (dua guna) yang dapat menampung dua buah pesawat DHC6 Twin Otter dan dua buah helikopter EC175, berserta satu laluan taxiway penghubung yang baharu.

“Cadangan lain termasuk penurapan kawasan tempat letak kereta di hadapan bangunan terminal demi kemudahan pengguna serta mencantikkan penampilan keseluruhan lapangan terbang. Penambahbaikan ini dilihat sebagai pelengkap penting agar STOLport Bario mencapai tahap operasi yang lebih cekap dan selesa," katanya. -EDISI UKAS