Projek Rintis Digitalisasi Urus Niaga Perniagaan Di Sarawak Dilancar Ogos Ini

Disiarkan pada 25 Jun 2025
Sumber Berita: UKAS


SIBU: Kerajaan Sarawak akan melancarkan satu projek rintis bagi mendigitalkan proses pendaftaran perniagaan bermula Ogos ini, sebagai sebahagian daripada usaha mereformasi sistem tadbir urus ke arah yang lebih cekap dan mesra pengguna.

Projek rintis yang akan dilaksanakan di Bahagian Sibu itu merupakan hasil kolaborasi antara Unit Transformasi dan Inovasi Sarawak (STIU), Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak serta Perbadanan Produktiviti Malaysia.

Melalui inisiatif ini, permohonan pendaftaran perniagaan akan dikendalikan secara berpusat oleh pihak berkuasa tempatan di Bangunan UTC Sibu dan Majlis Daerah Kanowit, dengan sokongan digital sebagai tulang belakang utama sistem baharu ini.

Langkah ini dijangka mempercepatkan tempoh kelulusan pendaftaran yang sebelum ini boleh mengambil masa sehingga 60 hari.

Antara pembaharuan utama yang dibawa termasuklah penyatuan pelbagai proses melibatkan agensi kerajaan negeri dan persekutuan di bawah satu platform berpusat.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Hii Chang Kee yang juga penasihat projek, menyifatkan inisiatif ini sebagai strategi penting dalam menjayakan Pelan Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak yang memberi penekanan kepada aspek Ease of Doing Business (EODB).

“Projek reformasi ini bukan sahaja menyasarkan kelulusan lebih pantas, malah proses yang lebih ringkas dan mesra digital. Ini akan meletakkan Sarawak sebagai destinasi pelaburan yang lebih kompetitif di rantau ini,” katanya.

Projek ini juga ujar beliau dijangka menjadi model kepada pelaksanaan serupa di daerah dan bahagian lain di Sarawak sekiranya ia berjaya.

Maklumat lanjut mengenai pelaksanaan sistem digital tersebut akan dikongsikan kepada umum menjelang pelancarannya nanti.-EDISI UKAS