155 Mahasiswa UiTM Cawangan Sarawak Bersidang Di DUN Sarawak

Disiarkan pada 25 Jun 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Seramai 155 orang mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak mula bersidang dalam Program Parlimen Mahasiswa Penggal Ketiga Siri 1 yang berlangsung dari 25 hingga 26 Jun 2025.

Program anjuran Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM Sarawak itu diadakan buat julung kalinya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, sekali gus memberikan pengalaman unik dan eksklusif kepada para mahasiswa.

Peserta program terdiri daripada presiden dan timbalan presiden pelbagai persatuan mahasiswa di UiTM Cawangan Sarawak, yang diberi peluang untuk merasai suasana sebenar sesi perbahasan ala parlimen dalam bentuk simulasi yang interaktif dan berinformasi.

Majlis pembukaan program telah disempurnakan oleh Speaker DUN Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar.

Objektif utama persidangan ini adalah untuk memberi pendedahan secara langsung kepada mahasiswa mengenai proses dan suasana sebenar persidangan parlimen, selain membentuk mahasiswa yang cakna terhadap sistem demokrasi negara.

Selain itu, program ini turut memberi impak besar dalam usaha membentuk modal insan yang bukan sahaja berpengetahuan malah berupaya menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara pada masa akan datang.

Hadir sama, Rektor UiTM Cawangan Sarawak Dr Firdaus Abdullah. -EDISI UKAS