Persidangan Khas DUN Sarawak Pada 7 Julai Ini

Disiarkan pada 25 Jun 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak akan mengadakan Persidangan Khas pada 7 Julai ini.

Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar memaklumkan Persidangan Khas ini susulan notis yang dikeluarkan di bawah Peraturan Mesyuarat 8(3), setelah menerima permohonan rasmi daripada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.

Menurut beliau, setakat ini belum ada sebarang Rang Undang-Undang (RUU) diterima untuk dibentangkan dalam sesi berkenaan.

“Sehubungan dengan permohonan tersebut, saya telah mengeluarkan notis kepada kesemua 82 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk menghadiri Persidangan Khas yang akan diadakan pada 7 Julai 2025.

“Namun demikian, sehingga kini saya belum menerima sebarang rang undang-undang berkaitan, dan sebarang ulasan lanjut pada peringkat ini hanya bersifat spekulatif,” jelasnya dalam sidang media semasa Program Parlimen Mahasiswa Penggal Ketiga Siri 1, di sini pada Rabu.

Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia turut memaklumkan bahawa pra-majlis dan sidang media akan diadakan sebaik sahaja RUU diterima bagi memberi penjelasan lanjut mengenai intipati persidangan khas tersebut.

Mengulas persoalan sama ada Persidangan Khas itu berkait dengan isu persempadanan semula kawasan Dewan Undangan Negeri dan Parlimen di Sarawak, beliau berkata, perkara itu tidak dapat disahkan selagi belum ada dokumen rasmi diterima.

Namun, beliau tidak menolak kemungkinan tersebut.

“Sama ada bilangan kerusi akan bertambah atau berkurang, saya tidak pasti kerana saya masih belum menerima apa-apa RUU. Maka, saya tidak boleh mengulas lanjut walaupun saya berhasrat berbuat demikian,” katanya.-EDISI UKAS