Kebakaran Di Kampung Senangeh, ADUN Simunjan Serah Bantuan Segera Bantu Mangsa

Disiarkan pada 25 Jun 2025
Sumber Berita: UKAS


SADONG JAYA: Suasana tenang di Kampung Senangeh digemparkan dengan satu insiden kebakaran yang berlaku sekitar jam 1.30 petang semalam, melibatkan sebuah rumah penduduk di kawasan tersebut.

Menurut laporan awal, kejadian melibatkan kediaman milik Mandolin Lydia Eman, yang mengalami kemusnahan dianggarkan sekitar 10 peratus melibatkan bahagian struktur rumah.

Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian tersebut.

Pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Asajaya telah bertindak pantas dengan tiba di lokasi kira-kira 15 minit selepas menerima panggilan kecemasan.

Usaha memadam kebakaran berjalan lancar dan api berjaya dikawal sepenuhnya tidak lama kemudian.

Turut hadir memberikan bantuan serta memantau keadaan ialah beberapa agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) Asajaya, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Asajaya dan Pejabat Daerah Kecil Sadong Jaya.

Bagi pihak kerajaan negeri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris turut turun padang bagi meninjau sendiri keadaan mangsa serta memberi sokongan moral.

Dalam lawatannya, beliau turut menyampaikan sumbangan segera sebanyak RM1,000 kepada mangsa bagi membantu keperluan asas seperti makanan dan barangan keperluan harian.

“Saya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua agensi yang bertindak cekap dan profesional dalam menangani kejadian ini.

Saya doakan agar mangsa terus diberikan kekuatan dan dipermudahkan segala urusan pasca kebakaran ini,” ujar Awla ketika dihubungi UKAS.

Beliau turut menzahirkan komitmen untuk memastikan mangsa diberikan perhatian sewajarnya termasuk dari segi bantuan susulan melalui agensi berkaitan.

Turut hadir ialah Penolong Pegawai Tadbir, Pejabat Daerah Kecil Sadong Jaya, Abdullah Sam Yusup.-EDISI UKAS