Tag Team Showdown Sedia Gegarkan BAMC Vol. 3 Sabtu Ini

Disiarkan pada 25 Jun 2025
Sumber Berita: UKAS


BINTULU: Bersedia untuk menonton aksi ‘WWE’ secara live?

Datanglah memenuhi Naim Street Mall, Bintulu Paragon pada Sabtu ini untuk menyaksikan pertembungan epik ‘Tag Team Showdown’ membabitkan empat nama besar dalam arena gusti tempatan.

Gandingan Azwan Serigala dan Alpha Nazri bersedia untuk menampilkan aksi lincah mereka menentang The Retis Double K dan Konrad Kai dalam perlawanan dianjurkan sempena Cabaran Muaythai Antarabangsa Bintulu Edisi Ke-3 (BAMC Vol. 3).

Sebelumnya keempat penggusti itu akan bertentang mata dalam sesi face off pada 27 Jun.

Perlawanan persembahan tumpuan itu salah satu dari beberapa pengisian yang telah diatur oleh penganjur, Persatuan Muaythai Bintulu bagi menghangatkan BAMC Vol. 3 berlangsung dari 26 hingga 29 Jun ini.

Pada edisi kali ini, penganjur turut menganjurkan Pertandingan Dart Double Open pada 28–29 Jun yang menawarkan hadiah menarik kepada pemenang.

Persembahan seni bela diri akan membuka tirai cabaran pada malam esok (Khamis) nanti dengan dengan persembahan memukau.

Selain itu, pihak penganjur turut berganding bahu dengan Pejabat Kesihatan Bahagian Bintulu untuk menganjurkan program Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) pada 28 Jun, bertujuan mempromosikan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat setempat.

Acara sehari ini dijangka menarik kehadiran ramai pengunjung bermula dari jam 7 pagi hingga 4 petang, menghimpunkan elemen sukan, kesihatan dan penyertaan komuniti dalam satu karnival yang sarat dengan mesej positif serta membawa aspirasi "Kesihatan Milik Semua, Bermula Dari Diri".

Pelbagai pengisian menarik turut dirancang, antaranya perkhidmatan pemeriksaan kesihatan asas dan kaunseling kesihatan yang disediakan oleh Lori Wellness on Wheel (WoW), selain pemeriksaan kesihatan lebih menyeluruh oleh petugas kesihatan profesional.

Acara dimulakan dengan sesi senamrobik pada waktu pagi bagi menyuntik semangat dan menggalakkan pengunjung memulakan hari dengan amalan gaya hidup aktif.

Selain itu, turut disediakan gerai penjaja dan jualan aksesori kepada para pengunjung yang hadir.

Lebih 200 peserta termasuk dari negeri dan negara luar bakal berentap dalam BAMC Vol. 3 melibatkan pelbagai kategori MuaySport, Semi-Pro, Pro termasuk Superfight Pro sebagai kemuncak aksi bermula dari 26 hingga 29 Jun ini.

Penganjuran kali ini turut mendapat sokongan daripada Persatuan Muaythai Sarawak dan Naim Street Mall, Bintulu Paragon.

Antara bout yang bakal mencuri tumpuan adalah pertembungan anak jati Bintulu, Aman Koboi menentang pencabar dari Thailand, Janasuk selain aksi membabitkan Azhad menentang wakil dari Rusia, Mehrubon Mardonoz.

Turut dijangka sengit, aksi melibatkan Omar Kuin menentang Danyal Johan dari Brunei Darussalam dan Aiman Taro menentang Rachasy Lion King dari Thailand.

Pemeriksaan Kesihatan & Timbang Berat akan diadakan pada 26 Jun manakala perlawanan MuaySport, Semi-Pro dan Pro pula akan berlangsung dari 27–29 Jun.

Warga Bintulu dijemput hadir bersama keluarga bagi memeriahkan cabaran selama empat hari ini. - EDISI UKAS