KOTA SAMARAHAN: Jabatan Tanah dan Survei (JTS), Bahagian Samarahan telah menganjurkan Majlis Penyampaian Cek Sumbangan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) di Pejabat Daerah Sebuyau, Samarahan hari ini.
Program CSR ini bukan sekadar simbolik, tetapi cerminan komitmen Jabatan untuk menyumbang kembali kepada masyarakat setempat, khususnya dalam membantu kampung-kampung dan institusi-institusi pendidikan yang menjadi tunjang kepada kesejahteraan dan Pembangunan komuniti.
Dalam amanat yang disampaikan oleh Ketua Bahagian Penguatkuasa Jabatan Tanah dan Survei Sarawak, Thian Choon Kui, beliau memberitahu, objektif utama majlis ini adalah untuk merapatkan hubungan antara penduduk kampung dengan Jabatan khususnya di kawasan Daerah Sebuyau.
Selain daripada kampung, sumbangan ini juga telah disalurkan kepada beberapa buah sekolah di sekitar Daerah Sebuyau.
Sebanyak 5 buah kampung dan 4 buah sekolah yang terlibat di dalam majlis ini masing-masing menerima cek sumbangan bernilai RM10,000 dan jumlah keseluruhan sumbangan adalah sebanyak RM90,000.
Antara kampung terlibat ialah Kampung Baru Sebuyau, Kampung Baru Hilir Sebuyau, Kampung Hulu Sebuyau, Kampung Masjid dan Kampung Giatmara.
Manakala sekolah yang terlibat ialah SK Tuanku Bagus, SJK Chung Hua Sebuyau, Taska Permata KEMAS Sebuyau dan SMK Sebuyau.
Beliau juga berharap dana ini dapat digunakan untuk tujuan kebajikan, baik dari pembangunan infrastruktur asas, sokongan kepada pelajar atau mana-mana keperluan lain yang dirasakan sesuai oleh pihak penerima.
Turut hadir di majlis tersebut Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Samarahan, Mohammad Zunica Mohamad Sapi’ee,, Melor Buyong mewakili Pegawai Daerah Sebuyau dan Bangit Grunsin, Head of Quarries SEDC.-EDISI UKAS