KATIBAS: Komitmen Kerajaan Sarawak dalam mengiktiraf dan memperkasakan Hak Adat Bumiputera (NCR) terus diperteguh menerusi pelaksanaan Dialog Lapangan Pengukuran Perimeter Tanah NCR Seksyen 6 mengikut Akta Kanun Tanah Negeri (KTN) bagi kawasan Sungai Bangkit, Katibas.
Program anjuran Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Bahagian Kapit ini berlangsung di Rumah Sebastian Tambi, Nanga Bangkit, pada Selasa, dan menghimpunkan lebih 200 orang penduduk setempat serta pemimpin masyarakat daripada 24 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kawasan Katibas Tengah.
Dalam ucapan perasmiannya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Katibas, Lidam Assan menegaskan bahawa pengukuran Seksyen 6 merupakan langkah penting untuk memberikan pengiktirafan sah ke atas tanah NCR milik komuniti.
“Selagi tanah tidak mempunyai dokumen rasmi, ia belum menjadi milik yang diiktiraf undang-undang.
“Pengukuran ini adalah kunci kepada pemilikan sah, dan saya mohon penduduk beri kerjasama penuh kepada Jabatan Tanah dan Survei,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa penyelesaian sempadan harus dibuat secara harmoni dan berasaskan adat dengan bimbingan ketua kaum agar tidak menjejaskan kelancaran pengukuran.
“Kita perlu bertolak ansur dan elakkan pertikaian. Jika ada tanah yang tertinggal selepas pengukuran Seksyen 6, masyarakat boleh memohon melalui Seksyen 6A Domain Wilayah Pribumi (NTD) bagi meluaskan kawasan NCR,” tambahnya.
Superitenden JTS Kapit, Sagu Unting, dalam sesi taklimat teknikal memaklumkan bahawa sebanyak 11,474 hektar tanah akan diukur di kawasan Sungai Bangkit melibatkan lokasi seperti Rumah Selikau, Batu Labang, Makut dan kawasan sepanjang Sungai Bangkit.
Katanya, sebanyak empat syarikat telah dilantik untuk menjalankan kerja-kerja pengukuran iaitu Borders Survey Consultant Sdn. Bhd; Geo Survey Consultant; Survey Development Survey dan Ace Geomatic Sdn. Bhd.
“Pengukuran Seksyen 6 membolehkan pemisahan tanah NCR daripada tanah kerajaan dan kawasan pembalakan.
“Ini adalah langkah pertama sebelum ke fasa Seksyen 18 yang melibatkan pengeluaran geran individu,” jelas beliau.-EDISI UKAS