KUCHING: Institusi kehakiman Syariah Sarawak melangkah ke era digital secara menyeluruh menerusi pelaksanaan Sistem I-Syariah, sebuah platform pintar yang berteraskan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI).
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, sistem tersebut merupakan satu usaha strategik Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak (JKSS) bersama Sarawak Information Systems Sdn. Bhd. (SAINS) bagi memperkukuh penyampaian perkhidmatan Syariah secara cekap, telus dan berkesan.
“Ia bukan sahaja mempercepat urusan seperti pendaftaran perkahwinan dan pengurusan kes, malah menjadi jambatan digital yang menghubungkan rakyat dengan institusi kehakiman Syariah di peringkat tempatan dan antarabangsa,” katanya semasa merasmikan Konvensyen Syariah Kebangsaan Sarawak (KOSKES) di sini, pada Selasa.
Konvensyen kali ini membawa tema “Digital Revolution in Syariah Judiciary of Sarawak”, sejajar dengan gelombang Revolusi Industri Keempat (IR 4.0) dan Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 Sarawak (PCDS 2030) yang meletakkan pendigitalan sebagai tunjang utama pembangunan negeri.
Tambah beliau, pelaksanaan Sistem I-Syariah juga menyokong kerangka Sarawak Digital Economy Blueprint 2030, sekaligus membentuk asas kepada tadbir urus pintar berteraskan prinsip Islam.
“AI berpotensi besar membantu dalam pencarian rujukan, analisis kes dan penyediaan dokumen serta keputusan berasaskan data yang lebih cepat dan tepat.
"Namun paling utama, teknologi ini mesti seiring dengan prinsip Maqasid Syariah yang menempatkan keadilan sebagai teras utama,” ujarnya.
Beliau turut menyarankan agar sistem I-Syariah dijadikan model 'Smart Syariah Governance' yang menggabungkan nilai Islam dan kekuatan teknologi moden secara holistik.
Mengenai Konvensyen Syariah Kebangsaan, beliau berharap ia menjadi wadah pertukaran ilmu dan kerjasama strategik antara negara serantau dalam memperkasa institusi kehakiman Syariah serta mempertingkat kompetensi hakim-hakim dan pegawai Syariah di negeri ini.
Usai merasmikan konvensyen tersebut, Datuk Amar Awang Tengah menyaksikan majlis pertukaran memorandum dan menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) di antara JKSS dengan tiga universiti iaitu Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Malaya (UM).
Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Yang diPertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Misnu Taha; Ketua Hakim Syarie Sarawak, Datu Awang Suhaili Ledi serta tetamu kenaman lain.-EDISI UKAS