Menteri Australia Tiba Di Kuching, Perkukuh Hubungan Dua Hala

Disiarkan pada 24 Jun 2025
Sumber Berita: ukas


KUCHING: Menteri Perdagangan, Perniagaan dan Hubungan Asia Wilayah Utara Australia, Robyn Cahill tiba di Kuching hari ini sempena rangka lawatan empat hari di sini.

Lawatan itu bertujuan memperkukuh hubungan dua hala antara Sarawak dan Wilayah Utara Australia, khususnya dalam aspek pelancongan, kebudayaan dan hubungan masyarakat.

Selain itu, ia juga bagi memperkukuh hubungan diplomatik dan pertukaran sosial antara Sarawak dan Australia.
Lawatan Robyn dimulakan dengan mengunjungi Muzium Budaya Borneo (BCM) pada jam 11 pagi tadi.

Beliau yang diiringi pegawai pengiring Yasmin Khalid Nicholls, diberi taklimat mengenai koleksi sejarah dan budaya pelbagai etnik di Sarawak yang dipamerkan di muzium tersebut, termasuk pameran interaktif dan artifak warisan masyarakat Dayak, Melayu, Melanau dan Cina.

Selain mengunjungi BCM, Robyn dijadualkan menghadiri pertemuan rasmi bersama Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan di Wisma Sumber Alam tengahari ini serta menghadiri majlis makan malam yang dihadiri Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian di lokasi sama pada malam ini.-EDISI UKAS