Setiausaha Kerajaan Sarawak & Isteri Ziarah Pusara Puan Sri Datuk Amar Hajjah Juma’ani

Disiarkan pada 24 Jun 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta isteri, Datin Amar Baduyah Bujang telah menziarahi pusara isteri Premier Sarawak, Puan Sri Datuk Amar Hajjah Juma’ani Tun Tuanku Bujang di Tanah Perkuburan Islam Semariang pada Selasa.

Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta isteri bersama Ketua-ketua Jabatan yang beragama Islam menziarahi pusara Almarhumah seterusnya membaca Yassin dan bertahlil.

"Bagi pihak Perkhidmatan Awam Sarawak, saya mengucapkan takziah kepada YAB Premier Sarawak serta keluarga atas pemergian Almarhumah.

"Beliau ketika hayatnya banyak memberi nasihat kepada kami tentang pentingnya kita memberi perhatian kepada kebajikan dan kesihatan kita semua dan bekerja sebagai satu keluarga.

"Semoga roh Almarhumah Puan Sri Datuk Amar Hajjah Juma'ani dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama mereka yang beriman," katanya.

Di samping itu, Datin Amar Baduyah Bujang juga menzahirkan kesedihan atas pemergian Almarhumah dan menganggap ia sebagai satu kehilangan besar kepada MAKSAK Wanita.

Jelas beliau, sebagai Penasihat MAKSAK Wanita Sarawak, Almarhumah banyak memberi inspirasi kepada MAKSAK Wanita Sarawak dan memberi sokongan kepada setiap aktiviti MAKSAK Wanita.

"Takziah bagi pihak MAKSAK Wanita dan mendoakan agar roh arwah dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama golongan yang solehah," katanya.

Puan Sri Datuk Amar Hajjah Juma'ani menghembuskan nafas terakhirnya di Pusat Perubatan Normah jam 3.34 pagi Isnin pada usia 76 tahun dan selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Semariang pada petang semalam. -EDISI UKAS